KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang melancarkan tujuh penerbitan eksklusif yang mencerminkan identiti, kekuatan dan keistimewaan negeri itu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-43 hari ini.
Tujuh penerbitan tersebut ialah Sketch Pahang: Pahang First Edisi Istimewa; Best Places in Tengku Hassanal Wildlife Reserve; Pahang Passage Through Sight and Soul; Dasar Biodiversiti Negeri Pahang; Pahang State Action Plan for Peatlands 2026-2035; Pasport Pahang: Edutourism Trail @ Kuantan dan Celebrating 25 Years Forest Frontier Discoveries.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata naskhah yang dilancarkan itu bukan sekadar himpunan gambar, fakta atau dokumentasi, sebaliknya merupakan rakaman perjalanan sebuah negeri yang menghubungkan masa lalu, masa kini dan masa hadapan.
Beliau berkata setiap penerbitan berkenaan membawa cerita dan nilai tersendiri yang membuktikan Pahang bukan sahaja kaya dengan sumber alam dan warisan, malah kaya dengan ilmu, pengalaman serta kisah yang wajar dikongsi kepada dunia.
"Apabila generasi akan datang membuka helaian demi helaian buku ini, mereka bukan sekadar membaca tentang Pahang, tetapi mereka akan mengenali jiwa Pahang serta memahami nilai yang kita perjuangkan, terutamanya menerusi Aspirasi Pahang First," katanya ketika melancarkan Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang: Celebrating Stories di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.
Wan Rosdy berkata pemilihan Pahang sebagai Negeri Tamu pada PBAKL kali ini merupakan satu penghormatan besar yang membuktikan negeri itu semakin mendapat perhatian di peringkat kebangsaan, sekali gus menawarkan peluang luas susulan jangkaan kehadiran sehingga dua juta pengunjung.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Medal Lions Creative (MLC) selaku rakan strategik yang konsisten mengangkat imej Pahang menerusi penghasilan pelbagai hasil kreatif bertaraf dunia termasuk penerbitan buku meja kopi, pembangunan galeri dan bahan promosi berimpak tinggi.
Mengulas mengenai sektor pelancongan, beliau berkata prestasi Tourism Pahang amat membanggakan apabila merekodkan peningkatan pengunjung daripada 13.73 juta orang pada 2024 kepada 15.58 juta pada 2025.
Kejayaan itu katanya turut diperkukuh dengan pengiktirafan Tourism Pahang sebagai Most Impactful State Tourism Organisation-Malaysia 2025 pada Asian Tourism & Hospitality Awards 2025–2026.
"Inisiatif seperti Pasport Pahang: Edutourism Trail @ Kuantan pula membuka lembaran baharu dalam memperkukuh pelancongan berasaskan pendidikan sebagai persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Dalam aspek pemuliharaan alam sekitar, Wan Rosdy berkata Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal seluas 60,000 hektar kini diiktiraf sebagai ASEAN Heritage Park ke-64 sejak September tahun lepas, sekali gus membuktikan komitmen serius negeri dalam memelihara khazanah biodiversiti.
Selain itu, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah turut mencatatkan lonjakan pengunjung kepada 261,687 orang pada 2025 dan Galeri Gandah akan dinaik taraf tahun ini seiring dengan pembangunan galeri rizab hidupan liar tersebut.
Menyentuh bidang penyelidikan, beliau berkata Majlis Biodiversiti Pahang berjaya melaksanakan 169 kajian dalam tempoh 2022 hingga 2025, termasuk penemuan beberapa spesies baharu yang menambah nilai khazanah negeri.
Mengenai pengurusan hutan, Wan Rosdy berkata Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mencatatkan hasil keseluruhan RM141 juta tahun lepas, selain kelulusan penambahan 572 hektar kawasan Hutan Simpan Bera bagi memperkukuh koridor Central Forest Spine.
Beliau berkata Pahang sehingga kini berjaya mengekalkan 2.057 juta hektar kawasan berhutan atau 57.07 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri dengan 1.6 juta hektar daripadanya telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal.
-- BERNAMA
