AM

HAWANA: PEMIMPIN NEGERI HARGAI PERANAN, KOMITMEN PENGAMAL MEDIA

29/05/2026 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 hari ini, beberapa pemimpin negeri merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas komitmen dan peranan mereka dalam menyampaikan maklumat tepat, sahih serta berintegriti kepada masyarakat.

Ucapan penghargaan itu didedikasikan kepada seluruh pengamal media terdiri daripada wartawan, jurugambar, jurukamera, editor, kru produksi dan petugas di belakang tabir industri media.

Di PERLIS, Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan wartawan yang berperanan menyampaikan maklumat tepat serta terkini kepada masyarakat walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya mewakili kerajaan negeri Perlis mengucapkan Selamat Hari Wartawan kepada semua wartawan di seluruh negara yang sentiasa memberi maklumat tepat dan terkini melalui saluran masing-masing.

“Kerajaan negeri Perlis sentiasa menghargai segala jasa dan sumbangan wartawan dalam membantu menyampaikan informasi kepada rakyat,” katanya.

Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata peranan media amat penting sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan, selain menjadi suara yang membawa isu, aspirasi serta denyut nadi rakyat.

“Semoga petugas media terus cekal menjalankan amanah demi memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan memacu pembangunan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan atas dedikasi, keberanian dan komitmen petugas media dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan berintegriti kepada masyarakat.

Sementara itu di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kewartawanan berintegriti menjadi semakin penting dalam dunia yang pantas dan dipenuhi lambakan maklumat.

Beliau berkata ketepatan fakta, etika dalam pelaporan serta keberanian mempertahankan kebenaran perlu terus dipelihara demi kepentingan rakyat dan negara.

“Di sebalik setiap berita yang sampai ke tangan rakyat, ada insan yang bekerja tanpa mengira waktu, turun ke lapangan, meneliti fakta dan menyampaikan maklumat dengan penuh tanggungjawab.

“Wartawan bukan sekadar pelapor berita, tetapi antara benteng penting dalam membina masyarakat yang celik maklumat, matang berfikir dan memahami realiti semasa dengan lebih adil serta seimbang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sambutan HAWANA diperkenalkan pada 2018 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan wartawan dalam pembangunan negara, manakala tarikh 29 Mei dipilih sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 1939.

HAWANA 2026 mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” dan majlis kemuncak sambutan pada 20 Jun ini di Pulau Pinang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan pengamal media sebagai nadi penyampaian informasi kepada rakyat serta penghubung penting antara kerajaan dan masyarakat.

Beliau berkata tema HAWANA tahun ini sangat bertepatan bagi mengangkat martabat kewartawanan dalam membentuk masyarakat yang matang dan celik maklumat, selain menekankan kepentingan integriti dalam pelaporan berita bagi memastikan dunia kewartawanan terus diyakini serta dipercayai.

"Rakan-rakan media bukan sekadar pelapor berita, bahkan menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam menyampaikan dasar, aspirasi serta pembangunan negeri secara telus dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Ab Rauf turut merakamkan penghargaan atas jasa, pengorbanan dan dedikasi pengamal media dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat kepada rakyat.

"Semoga seluruh pengamal media terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan serta iltizam dalam memartabatkan dunia kewartawanan yang beretika dan berintegriti.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi pula berkata sambutan HAWANA tahun ini adalah simbol penghargaan terhadap warga media yang sentiasa berada di lapangan demi memastikan rakyat memperoleh maklumat tepat dan pantas.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata pengorbanan pengamal media yang sanggup bertugas tanpa mengira masa dan keadaan membuktikan profesion kewartawanan memerlukan tahap dedikasi serta tanggungjawab sosial yang tinggi.

“Dalam semangat HAWANA 2026, marilah kita bersama-sama memperkukuh budaya ilmu, memperluas ruang dialog yang sihat serta mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan dalam setiap penyampaian maklumat.

“Buat seluruh warga media di Perak dan Malaysia, ketahuilah bahawa jasa serta pengorbanan saudara-saudari sentiasa dihargai. Peranan yang dimainkan mungkin tidak selalu disebut, namun impaknya besar dalam membentuk pemikiran masyarakat dan hala tuju negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata profesion kewartawanan akan terus dihormati dan kekal menjadi antara tiang penting dalam membina masyarakat yang berilmu serta bermaklumat.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media yang sentiasa komited melaksanakan tugas walaupun berdepan pelbagai cabaran di lapangan.

“Terima kasih kepada semua pengamal media yang terus komited menyampaikan maklumat yang tepat, berinformasi dan berintegriti.

“Di sebalik setiap berita yang kita baca, ada insan yang sanggup turun ke lapangan, mengejar fakta dan menyemak kebenaran bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang sahih. Selamat Hari Wartawan Nasional 2026,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut merakamkan penghargaan tertinggi kepada semua pengamal media yang sentiasa memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat.

Beliau berkata di sebalik setiap berita yang disampaikan, terserlah dedikasi, integriti dan komitmen para wartawan dalam memastikan rakyat menerima maklumat tepat, sahih serta seimbang.

“Tema HAWANA 2026 ‘Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’ amat bertepatan dalam memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap profesion kewartawanan yang beretika, bertanggungjawab dan berwibawa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji turut merakamkan penghargaan atas jasa, pengorbanan dan komitmen berterusan para pengamal media dalam menyampaikan maklumat demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wartawan Nasional 2026 kepada seluruh pengamal media di Malaysia.

Beliau berkata pengorbanan dan komitmen wartawan dalam menyampaikan maklumat tepat, pantas dan berintegriti amat besar nilainya kerana di sebalik setiap berita yang dilaporkan terselit dedikasi, keberanian dan tanggungjawab untuk memastikan masyarakat terus menerima maklumat yang sahih serta boleh dipercayai.

“Terima kasih kepada seluruh pengamal media yang sentiasa bertungkus lumus menjalankan amanah, tanpa mengira waktu dan keadaan.

“Semoga profesion kewartawanan terus dihormati, diperkasa dan menjadi suara yang membawa kebenaran demi kesejahteraan masyarakat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Aminuddin juga berkata tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” cukup bermakna dalam memperkukuh peranan media sebagai jambatan antara rakyat dan negara khususnya dalam era cabaran maklumat tanpa sempadan.

Di PULAU PINANG, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Datuk Rashidi Zinol merakamkan penghargaan kepada seluruh warga media serta pengamal kewartawanan yang sentiasa komited menyampaikan informasi tepat, telus dan berintegriti kepada masyarakat.

Beliau berkata peranan wartawan bukan sahaja sebagai penyampai berita malah menjadi jambatan penting antara rakyat dan kerajaan dalam memastikan suara masyarakat terus didengari.

"Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan dedikasi dalam dunia kewartawanan. Selamat Hari Wartawan Nasional," katanya.

--BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan