AM

TREND PENDAPATAN SAMPINGAN PACU EKOSISTEM BISNES DI GM KLANG

29/05/2026 11:34 AM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Trend pendapatan sampingan dan perniagaan digital masa kini menjadikan GM Klang bukan lagi sekadar destinasi pembelian borong, sebaliknya berkembang sebagai hab perniagaan moden yang menghimpunkan komuniti usahawan dalam satu ekosistem dinamik.

GM Klang dalam kenyataan hari ini memaklumkan dengan gabungan elemen pemborongan, runcit dan gaya hidup, pusat borong terbesar itu terus menjadi pilihan utama usahawan untuk mendapatkan stok, membina jaringan perniagaan serta mengembangkan jenama.

Menurut kenyataan itu seiring perkembangan trend perniagaan masa kini, semakin ramai individu meneroka peluang bisnes secara kecil-kecilan melalui platform e-dagang di samping menjalankan perniagaan secara fizikal.

"Bermula sebagai sumber pendapatan tambahan, ramai dalam kalangan usahawan hari ini dilihat berjaya mengembangkan perniagaan mereka secara lebih serius selari dengan perubahan trend perniagaan dan gaya pembelian pengguna semasa," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah HSQ Trading Sdn Bhd Vincent Liew berkata beliau pernah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk ejen jualan atau dropship dan jualan dalam talian, sebelum kini memberi fokus kepada pembangunan jenama sendiri iaitu “Dr. Flask”.

Liew, yang mengusahakan perniagaan botol minuman atau tumbler yang boleh disuai padan dengan cetakan nama dan logo, menyifatkan platform digital dan media sosial pada masa kini banyak membantu usahawan berkembang dengan lebih pantas serta fleksibel.

"Sepanjang terlibat dalam dunia perniagaan, saya pernah mencuba pelbagai model perniagaan sebelum mula fokus membangunkan Dr. Flask. Dengan sokongan komuniti perniagaan di GM Klang, perniagaan kami semakin berkembang hingga kini mempunyai beberapa unit di sini.

"Pada saya, platform digital dan kedai fizikal saling melengkapi. Platform digital membantu pemasaran dan mengikuti trend semasa, manakala kedai fizikal pula penting untuk membina keyakinan pelanggan terhadap jenama dan produk," katanya.

Liew merupakan antara usahawan tempatan yang berkembang bersama ekosistem perniagaan di GM Klang.

Dalam pada itu, GM Klang optimis untuk terus memperkukuh peranan sebagai hab perniagaan moden yang bukan sahaja memenuhi keperluan perdagangan, malah menjadi platform yang membuka lebih banyak peluang dan jaringan kepada usahawan dan generasi perniagaan baharu masa kini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan