AM

BOUSTEAD HOLDINGS, ROYALE CHULAN HOTELS & RESORTS ANJUR KORBAN KASIH, SANTUNI KOMUNITI SETEMPAT

28/05/2026 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Boustead Holdings Berhad (BHB) memperkukuh hubungan bersama masyarakat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Korban Kasih 2026 bersempena dengan sambutan Aidiladha dengan sokongan syarikat operasinya, Royale Chulan Hotels & Resorts.

BHB menerusi kenyataan hari ini memaklumkan program yang memasuki edisi kedua tahun ini diadakan di Royale Chulan Damansara (RCD) pada hari kedua Aidiladha dan di Royale Chulan Cerating (RCC) pada hari keempat Aidiladha, dengan penglibatan warga kerja, pihak pengurusan, komuniti setempat dan peserta korban.

Sebanyak 15 ekor lembu dikorbankan di RCD manakala tiga ekor lembu lagi di RCC dengan daging korban diagihkan kepada golongan memerlukan dan komuniti sekitar, selain disertai jamuan khas melalui aktiviti gotong-royong bersama masyarakat tempatan.

Pengarah Urusan Kumpulan BHB Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata program itu mencerminkan nilai murni yang sentiasa diterapkan dalam budaya organisasi syarikat berkenaan.

“Program ibadah korban ini bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, malah mencerminkan nilai kebersamaan, keikhlasan dan semangat gotong-royong yang sentiasa menjadi teras dalam budaya BHB. 

“Semoga ibadah korban yang dilaksanakan ini diterima Allah SWT serta terus mengeratkan ukhuwah, memperkukuh nilai ihsan dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan warga Boustead Group dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata pemilihan RCD dan RCC sebagai lokasi pelaksanaan membawa makna tersendiri kerana kedua-dua hotel itu merupakan sebahagian daripada ekosistem Boustead yang sentiasa menjadi ruang pertemuan, penyatuan dan khidmat kepada masyarakat. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd Datuk Rosthman Ibrahim berkata program Korban Kasih mencerminkan komitmen berterusan pihak hotel dalam mendekati masyarakat melalui inisiatif yang memberi manfaat secara langsung.

“Sebagai sebahagian daripada Boustead Group, Royale Chulan Hotels & Resorts amat berbesar hati dapat bersama-sama menjayakan program ini.

“Korban Kasih bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama warga kerja dan komuniti, malah menjadi platform untuk kami berkongsi rezeki dan menyemai nilai kemanusiaan yang sentiasa menjadi pegangan organisasi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Korban Kasih 2026 mencerminkan komitmen berterusan BHB dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang memberi impak positif kepada masyarakat serta memperkukuh nilai perpaduan dan ihsan dalam kalangan warga kerja dan komuniti.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan