KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang bermula esok, hadir dengan pelbagai pembaharuan dan tarikan baharu, termasuk Galeri Khas Buku Pilihan Pemimpin MADANI serta Festival Sastera Kanak-Kanak dalam usaha menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Mengangkat tema “Malaysia Membaca: Merayakan Buku”, penganjuran kali ini mencerminkan komitmen penganjur untuk memperkasa budaya membaca dan menjadikan buku sebagai medium pembentukan masyarakat berilmu.
Menurut penganjur PBAKL 2026, Galeri Khas Buku Pilihan Pemimpin MADANI adalah satu ruang istimewa yang mempamerkan pilihan buku yang menjadi rujukan, inspirasi dan kegemaran tokoh-tokoh utama negara.
“Antara tokoh yang menjayakan galeri ini ialah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2, Menteri Besar Pahang, Menteri Besar Selangor, Menteri Pendidikan Tinggi serta timbalannya, Menteri Pendidikan serta timbalannya, Menteri Agama serta Menteri Perpaduan Negara.
“Galeri ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali pemikiran pemimpin negara melalui bahan bacaan yang membentuk nilai dasar mereka, malah setiap naskhah turut dipamerkan bersama ringkasan, konteks serta perkongsian refleksi tokoh-tokoh berkenaan,” kata Penasihat Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026 Mohd Khair Ngadiron.
PBAKL 2026 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hingga 7 Jun ini, menyaksikan lebih 1,000 reruai disediakan untuk orang ramai bermula 10 pagi hingga 10 malam.
Selain pembinaan negara bangsa, PBAKL 2026 turut agresif memacu ekonomi perbukuan menerusi penganjuran Asian Rights Fair (ARF) bermula 29 hingga 31 Mei melibatkan penyertaan 24 negara termasuk China, United Kingdom, Turkiye dan India yang diharap dapat memberi impak besar terhadap perdagangan hak cipta serta memperluas pengenalan karya Malaysia ke pasaran dunia.
Dalam pada itu, PBAKL 2026 turut meneruskan inisiatif Program Pembeli VIP kendalian Perbadanan Kota Buku (PKB) bagi memudahkan sekolah membeli bahan bacaan secara digital menerusi platform Kota Buku Digital.
“Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti secara lebih telus, sistematik dan berimpak tinggi,” menurut PBAKL.
Bagi segmen pendidikan tinggi, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) turut menganjurkan Perkumpulan Buku Akademik Malaysia Terbesar dengan penyertaan 24 penerbit universiti yang menawarkan lebih 5,000 judul ilmiah merentas pelbagai disiplin.
Penganjur juga tidak meminggirkan generasi pelapis dengan menyediakan platform Festival Sastera Kanak-Kanak bagi memupuk minat membaca menerusi pelbagai aktiviti seni, pertandingan mewarna, kelas melukis serta persembahan pakaian beragam.
Pembangunan bakat muda terus diperkasakan menerusi program MIFLA (Malaysia Innovative Futuristic Library Academia) Junior yang menghimpunkan pustakawan sekolah di seluruh negara serta program TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) yang melatih murid sekolah dalam kemahiran penyiaran, kewartawanan dan komunikasi.
Bagi memastikan pesta buku ini dapat dirai oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk di luar Lembah Klang, penganjur meneruskan PBAKL Hybrid edisi keenam secara dalam talian yang melibatkan lebih 60 penerbit dengan penawaran digital eksklusif melalui Kota Buku Digital.
Menerusi penganjuran kali ini, PBAKL berhasrat untuk memupuk budaya membaca yang lebih mendalam, sambil menyediakan platform bagi perbincangan intelektual, pembangunan industri perbukuan serta kolaborasi antarabangsa.
“PBAKL 2026 bukan hanya sebuah acara pameran buku tetapi juga platform utama bagi penyebaran pengetahuan, kreativiti dan inovasi dalam dunia perbukuan serta sebagai satu penanda aras dalam industri perbukuan Asia Tenggara,” menurut PBAKL.
-- BERNAMA
