LABUAN, 27 Mei (Bernama) -- Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Labuan hari ini menyantuni orang berinsurans dan penerima manfaat di sini, melalui program kebajikan yang diadakan bersempena dengan sambutan Aidiladha dan Pesta Kaamatan.
Dalam kunjungan itu, skuad berkenaan menyampaikan Kotak Prihatin kepada penerima dan ahli keluarga mereka, mencerminkan komitmen berterusan PERKESO dalam meringankan beban mereka yang menghadapi kesusahan, khususnya semasa musim perayaan.
Antara penerima, Kilat Paulus, 47, yang mengalami kecederaan parah dalam kemalangan di tempat kerja pada 27 April lepas menyatakan penghargaan atas bantuan berterusan PERKESO dan menyifatkan bantuan itu dapat membantu keluarganya ketika dia meneruskan pemulihan.
“Bantuan ini mungkin nampak biasa bagi orang lain, tetapi amat bermakna buat kami … saya berterima kasih kepada PERKESO Labuan kerana terus prihatin dengan golongan seperti kami,” katanya kepada Bernama. Kilat mengalami kecederaan parah pada jari ketika memotong kayu sehingga menyebabkannya tidak dapat bekerja.
Seorang lagi penerima Susan Cadiz Egano, 66, yang menerima pencen penakat berikutan anak lelakinya meninggal dunia pada 12 Mei lepas, turut berterima kasih kepada PERKESO atas keprihatinan yang diberi.
“Terima kasih PERKESO kerana mengambil berat. Kunjungan ini memberikan kekuatan kepada saya dan membuktikan bahawa kami sekeluarga tidak keseorangan setelah kehilangan anak tersayang,” katanya.
Skuad berkenaan turut melawat waris Sarenah Ab Besar yang meninggal dunia pada 10 April, iaitu anak-anaknya yang masih bersekolah, yang menerima pencen penakat hingga berusia 21 tahun bagi memastikan kebajikan dan pendidikan mereka terjamin.
Mereka turut mengunjungi Agustine Modingin, 39, yang mengalami strok haba pada 14 April ketika sedang bekerja di atas kapal dan kini menerima Faedah Hilang Upaya Sementara daripada PERKESO.
Sementara itu, Pengurus PERKESO Labuan Sylvester Candy Anak Pai berkata inisiatif itu mencerminkan peranan agensi berkenaan yang bukan sekadar menyediakan perlindungan keselamatan sosial, tetapi turut menyantuni penerima manfaat dan keluarga mereka.
“Kunjungan ini bertujuan menyediakan sokongan moral, galakan dan rasa kebersamaan, terutamanya ketika sambutan perayaan bermakna seperti Aidiladha dan Kaamatan,” katanya.
-- BERNAMA
