Oleh Noornasrin Salsabila Othman
KOTA BHARU, 27 Mei (Bernama) -- Kekurangan fizikal tidak menjadi penghalang bekas atlet para Kelantan Mazri Mohamed untuk menghasilkan pelbagai ukiran kayu selain turut menyertai pelbagai pertandingan pada peringkat antarabangsa.
Mazri, 55, yang pernah menyertai acara lontar peluru, lempar cakera dan rejam lembing berkata mendalami kemahiran ukiran berasaskan kayu ketika berusia belasan tahun dan minat mendalam terhadap seni itu mendorongnya terus berkarya sehingga menjadi sumber pendapatan.
“Pada awalnya saya hanya menjadikan ukiran kayu sebagai hobi sebelum lama-kelamaan melihat potensi bidang ini untuk berkembang memandangkan tidak ramai yang menceburi warisan seni ukiran tradisional.
“Selepas beberapa tahun mendalami ilmu kemahiran ukiran kayu, saya memberanikan diri mengambil tempahan dengan tempahan pertama daripada penduduk kampung untuk menghasilkan ukiran kayu pada struktur tangga,” katanya.
Mazri yang lumpuh kaki kiri akibat demam panas ketika berusia enam tahun berkata demikian kepada Bernama semasa ditemui di bengkel miliknya di Kampung Pulau Pisang Hilir baru-baru ini.
Bapa kepada lima anak berusia lapan hingga 26 tahun itu berkata dirinya telah menghasilkan pelbagai jenis ukiran termasuk mimbar masjid, rehal al-Quran, alat muzik dikir barat, ukiran pintu serta hiasan rumah tradisional.
Hasil seni itu bukan sahaja mendapat tempahan masyarakat setempat, bahkan Mazri turut diberi kepercayaan untuk menghasilkan ukiran kayu di tangga Istana Balai Besar kira-kira 10 tahun lepas.
Selain itu, Mazri juga menerima tempahan daripada beberapa tokoh terkenal termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kerabat diraja.
“Setiap ukiran dihasilkan ada cabarannya memandangkan keadaan diri saya yang ada ketika terpaksa mengehadkan pergerakan. Ada yang dapat disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga hari (tetapi) ada juga yang mengambil masa sehingga dua minggu, bergantung kepada corak dan tahap kerumitan ukiran,” katanya.
Mazri berkata antara motif sering menjadi pilihan pelanggan ialah bunga raya, daun sirih dan pohon hayat yang mencerminkan identiti serta warisan seni budaya Melayu, selain sesuai diterapkan pada pelbagai struktur ukiran kayu seperti tangga, pintu serta hiasan dinding.
Setiap ukiran juga dihasilkan dengan teliti melalui gabungan kemahiran pahat tangan serta penggunaan mesin moden bagi memastikan hasil yang lebih halus, kemas dan berkualiti tinggi.
“Harga ukiran yang dihasilkan bermula daripada RM50 hingga RM2,000 bergantung kepada saiz, jenis corak dan kayu digunakan seperti meranti, cengal, seraya, merawan atau raya hitam.
“Selain menghasilkan ukiran kayu, saya turut menyertai beberapa pertandingan seni ukiran termasuk di Korea pada 2000 dengan menghasilkan ukiran burung dan India pada 2009 bagi ukiran patung,” katanya.
Mazri juga pernah meraih tempat ketiga pertandingan 7th International Abylimpics di Shizuoka, Jepun pada 2007 dengan menghasilkan ukiran kayu Bunga Sakura.
“Pencapaian itu bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap bakat dan kemahiran saya, malah turut mengharumkan nama negara di persada dunia dalam bidang seni ukiran kayu.
“Saya berharap seni ukiran kayu tradisional akan terus dipelihara dan tidak pupus ditelan zaman, sebaliknya diwarisi generasi muda sebagai khazanah seni warisan yang perlu dikekalkan,” katanya.
-- BERNAMA
