AM

MSOSH SYOR PENDIDIKAN KKP DITERAP DARI PERINGKAT SEKOLAH

26/05/2026 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) mencadangkan supaya pendidikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) diterapkan secara sistematik dalam sistem pendidikan negara bermula dari peringkat sekolah.

Presiden MSOSH Datuk Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata langkah itu penting bagi membina asas kesedaran mengenai pengurusan risiko, budaya kerja selamat dan tindakan kecemasan dalam kalangan generasi muda sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Beliau berkata kesedaran mengenai risiko dan pengurusan bahaya dalam kalangan masyarakat umum masih berada pada tahap rendah kerana isu KKP sering dianggap sebagai perkara teknikal yang hanya melibatkan sektor industri tertentu seperti perkilangan, tapak binaan atau pegawai keselamatan.

“Kesedaran mengenai risiko, pengurusan bahaya dan budaya kerja selamat masih terlalu rendah dalam kalangan masyarakat kerana pendidikan berkaitan KKP tidak diterapkan secara sistematik sejak peringkat awal persekolahan.

“Budaya keselamatan tidak boleh dibina hanya apabila seseorang sudah memasuki alam pekerjaan. Kanak-kanak perlu didedahkan dengan asas budaya keselamatan, pengurusan risiko dan tindakan kecemasan sejak awal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Saranan itu susulan insiden di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan baru-baru ini yang mengorbankan tiga pekerja manakala seorang lagi cedera parah.  

Selain itu, Ahmad Fakhrul Anuar berkata pengukuhan budaya KKP dari peringkat akar umbi dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada pendekatan pascakemalangan seperti aspek pampasan dan bantuan perlindungan semata-mata.

“Pengumuman berkaitan skim perlindungan, pampasan dan bantuan kepada waris memang penting, namun ia tidak boleh menjadi fokus utama sehingga mengabaikan agenda nasional membina budaya pencegahan kemalangan,” katanya.

Ahmad Fakhrul Anuar turut menekankan kepentingan mempunyai wakil yang memahami bidang KKP pada peringkat tertinggi negara termasuk di Parlimen atau Dewan Negara bagi membawa isu keselamatan pekerja, kematian industri, penyakit pekerjaan dan budaya pencegahan ke peringkat dasar nasional. 

Pada Ahad lepas, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata kejadian pada 12.50 tengah hari itu berlaku selepas bot penyelamat dinaiki mangsa terjatuh ke dalam laut semasa hendak menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform itu. 

Kejadian dipercayai berlaku selepas tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu tercabut. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan