PUTRAJAYA, 26 Mei (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan bahawa pelaksanaan prosedur berkaitan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dilaksanakan mengikut tatacara yang telah dipersijilkan di bawah standard MS ISO 9001:2015.
JAS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ini bagi memastikan setiap proses semakan dan keputusan dibuat secara profesional, sistematik dan berakauntabiliti.
Menurut JAS, bagi memastikan ketelusan ini berterusan, bermula Januari 2025 dengan komitmen daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), pihaknya masih menyediakan akses terhadap Ringkasan Eksekutif Laporan EIA Jadual Pertama dan Jadual Kedua untuk rujukan umum.
“Pendekatan ini dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan antara prinsip ketelusan maklumat awam dengan tanggungjawab JAS dalam mengurus dokumen rasmi kerajaan secara terkawal dan bertanggungjawab.
“Ia juga mengambil kira aspek keselamatan, hak milik dokumen, serta keperluan pematuhan kepada dasar dan peraturan semasa yang berkaitan,” maklum jabatan itu.
Baru-baru ini sebuah badan bukan kerajaan pemantau alam sekitar dilaporkan mengkritik cara JAS mengendalikan laporan EIA dengan membangkitkan kebimbangan berhubung ketelusan dan akses awam dan mendakwa berdepan masalah ketika cuba mengakses dokumen EIA melalui pangkalan data dalam talian jabatan itu.
JAS menegaskan bahawa fungsi dan bidang kuasa jabatan itu adalah untuk menilai, menyemak dan mempertimbangkan Laporan EIA berdasarkan keperluan teknikal, pematuhan perundangan dan impak terhadap alam sekitar sebelum sesuatu projek diluluskan untuk dilaksanakan.
“Kami akan terus memperkukuh pengurusan dokumen dan penyampaian perkhidmatan berkaitan EIA secara profesional, telus dan bertanggungjawab demi memelihara kelestarian alam sekitar serta kepentingan awam selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peraturan yang berkuat kuasa,” maklum jabatan berkenaan.
Ringkasan Laporan EIA itu boleh diakses di laman web Perpustakaan Enviro Digital@JAS di pautan https://edl.doe.gov.my/ sepanjang masa.
Bagi orang awam yang berminat untuk mengakses Laporan EIA secara penuh, mereka boleh mengisi borang permohonan rasmi yang boleh didapati di pautan https://www.doe.gov.my/perkongsian-datadan-laporan/ dan mengemukakan permohonan kepada JAS Ibu Pejabat dan JAS Negeri.
Jabatan itu berkata akses laporan akan dimaklumkan secara temujanji pada tarikh yang ditetapkan di Perpustakaan JAS.
-- BERNAMA
