| BERITA TERGEMPAR | Allianz Malaysia posts higher net profit of RM227.35 mln in 1Q FY2026 compared to RM213.04 million in 1Q FY2025 | |
KOTA KINABALU, 25 Mei (Bernama) -- Sabah berhasrat menggunakan pendekatan pertumbuhan seimbang bagi memastikan nilai ekonomi yang adil terhadap sumbangan alam sekitarnya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata kerajaan negeri selaku penjaga alam sekitar yang bertanggungjawab mengelak pendekatan kemampanan yang tidak realistik sehingga boleh melambatkan pembangunan sosioekonomi negeri.
“Jika Sabah terus memikul tanggungjawab alam sekitar yang besar untuk negara, maka bagaimana Sabah memperoleh nilai ekonomi yang adil daripada sumbangan itu?,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Hijau dan Kelestarian Sedunia di sini hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, Menteri Kanan Kemboja Dr Chhem Kieth Rethy dan Pengerusi Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik Tan Sri Majid Khan.
Hajiji berkata usaha pemuliharaan alam sekitar membawa kos peluang ekonomi, apabila tanah dipelihara dan hutan dilindungi, maka negeri berkenaan kehilangan potensi hasil pembangunan.
Beliau menjelaskan bahawa nilai besar ekosistem dalam menyerap karbon dan menyokong biodiversiti memberi manfaat bukan sahaja kepada Sabah, tetapi juga kepada Malaysia, rantau ini dan dunia.
“Oleh itu, perbincangan global mengenai kelestarian perlu berteraskan prinsip keadilan, merangkumi nilai yang adil, pengiktirafan yang adil dan pelaburan yang adil. Sabah perlu berkembang menjadi wilayah yang memperoleh manfaat daripada modal semula jadi, bukan sekadar menyumbang kepadanya,” katanya.
Menyentuh pembangunan ekonomi masa depan, Hajiji berkata Sabah kini memasuki fasa “pemuliharaan bernilai”.
Menurutnya, pendekatan itu melibatkan peralihan daripada sekadar melindungi sumber semula jadi kepada membangunkan industri yang bertanggungjawab berasaskan sumber tersebut serta muncul sebagai peneraju ekonomi hijau.
Peralihan strategik ini, katanya, merangkumi pembangunan pasaran karbon yang berwibawa, pertanian mampan, ekonomi biru, ekopelancongan serta inovasi berasaskan biodiversiti.
Beliau turut menegaskan keperluan mutlak untuk memastikan syarikat tempatan, tenaga kerja dan komuniti setempat disepadukan dalam rantaian nilai hijau baharu itu.
Mengenai keterjaminan tenaga negeri, Hajiji berkata tenaga pada asasnya merupakan isu ekonomi dan keterjaminan jangka panjang yang memerlukan gabungan sumber secara seimbang dan praktikal.
Katanya, perkara itu penting memandangkan Sabah sebagai negeri yang masih membangun terus memperluas kapasiti perindustrian, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh infrastrukturnya.
Berpandukan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040, beliau berkata teknologi tenaga bersih seperti solar, hidro, biojisim dan biogas akan terus diperluas bagi menyediakan tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses dan mampu milik.
Sambil menyatakan hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), beliau mengingatkan sebarang peralihan ke arah ekonomi hijau yang membebankan rakyat atau menjejaskan daya saing ekonomi tempatan tidak akan berdaya tahan dalam jangka panjang.
“Bagi Sabah, kemampanan mesti bersifat praktikal. Ia mesti adil, mampu milik dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
