IPOH, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak telah menubuhkan Jawatankuasa Integriti dan Keselamatan Rangkaian Negeri bagi memperkukuh kerjasama dengan agensi bagi menangani isu kecurian kabel, lurang terbuka dan vandalisme infrastruktur telekomunikasi.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata jawatankuasa yang ditubuhkan pada 12 Mei itu, akan menyelaras aspek penguatkuasaan, pemantauan serta tindakan pencegahan berkaitan masalah tersebut.
“Kita memandang serius peningkatan kes kecurian kabel, lurang terbuka serta vandalisme infrastruktur telekomunikasi yang memberi kesan langsung terhadap keselamatan awam dan kestabilan rangkaian komunikasi di Perak.
“Jawatankuasa melibatkan kerjasama Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), polis, Telekom Malaysia (TM) serta syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah MCMC Perak Mohd Irwan Mohamed, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Azlan berkata berdasarkan data terkini TM sehingga Mac tahun ini, sebanyak 377 kes lurang terbuka telah direkodkan, iaitu peningkatan 68 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata pihaknya percaya trend peningkatan yang ketara ini, dipercayai didorong oleh nilai pasaran tembaga yang tinggi, sehingga mendorong aktiviti kecurian kabel bawah tanah dan vandalisme terhadap kemudahan telekomunikasi yang terdapat di negeri ini.
Justeru, bagi memastikan perkara berkenaan dapat ditangani secara lebih berkesan, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan undang-undang yang lebih tegas di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Di bawah peruntukan ini, ia bukan hanya melibatkan kecurian kabel, malah sesiapa yang didapati merosakkan, mengusik atau melakukan sabotaj terhadap infrastruktur telekomunikasi juga boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.
Selain itu, Azlan berkata orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran sedia ada seperti talian bantuan TM, laporan polis atau portal MCMC, termasuk menyerahkan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan pendakwaan dibuat terhadap pesalah.
-- BERNAMA
