KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan negara kekal stabil serta terkawal, dengan langkah mitigasi berterusan dilaksanakan khususnya bagi item kritikal dan berisiko tinggi, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil 12 hari ini yang turut bersetuju sebarang pelarasan kos dibuat secara bersasar, berdasarkan tahap risiko dan keperluan sebenar.
Sehingga 8 Mei lepas, beliau berkata sebanyak 72 peratus daripada keseluruhan item ubat yang direkodkan berada pada tahap risiko rendah, 11.3 peratus tahap sederhana dan 16.8 peratus tahap tinggi yang memerlukan pemantauan berterusan.
“Bagi peranti perubatan pula, sebanyak 81.7 peratus berada pada tahap risiko rendah, 13.5 peratus pada tahap risiko sederhana manakala 4.8 peratus dikenal pasti berisiko tinggi. Bekalan bahan mentah dan komponen utama berisiko tinggi akibat kebergantungan kepada sumber import,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) disaran untuk meningkatkan usaha bagi memastikan ketelusan harga ubat-ubatan yang dijual di farmasi supaya rakyat tidak dibebani tekanan harga yang tidak wajar.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata KKM telah mengambil langkah mitigasi secara berfasa dan tersusun sejak awal krisis tersebut berlaku seperti melaksanakan pemantauan bekalan dengan berkala melalui pasukan petugas khas.
Stok Penimbal Nasional turut diwujudkan melalui pengukuhan simpanan stok ubat-ubatan bagi item berisiko tinggi secara serta-merta serta melaksanakan diversifikasi sumber bekalan melalui kerjasama strategik dengan negara seperti China, Jepun dan Uzbekistan.
Beliau berkata KKM juga mewujudkan Laluan Akses Khas iaitu mengaktifkan Special Access Pathway bagi mempercepat kelulusan import ubat kritikal serta melaksanakan pembangunan industri tempatan bagi memperkasakan pembuat peranti perubatan nasional ke arah pengurangan kebergantungan terhadap produk import.
Sementara itu, beliau berkata keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan asas mencukupi, mengawal tekanan harga, menjamin kelangsungan operasi industri, melindungi pekerjaan serta menyalurkan bantuan secara bersasar kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.
-- BERNAMA
