Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 23 Mei (Bernama) -- Sebuah beg kecil berwarna hitam dibiarkan terbuka sejak awal pagi di atas katil bilik penginapan di Hotel Abraj Al Tayseer.
Di sekelilingnya, beberapa barang disusun kemas satu persatu. Ada ubat darah tinggi, buku doa kecil yang lusuh pada bahagian tepi yang menandakan sering diselak helaiannya, sebotol penyembur air, tasbih, tisu basah dan sejadah nipis yang dilipat rapi.
Bagi orang luar, ia mungkin kelihatan seperti persiapan biasa sebelum memulakan perjalanan jauh.
Namun, bagi jutaan jemaah haji yang bakal bergerak ke Arafah dua hari lagi, beg kecil itulah saksi yang akan menemani mereka menuju perjalanan terpenting sepanjang hidup.
BEG KECIL, HARAPAN BESAR
Di hotel-hotel penginapan jemaah Malaysia di Makkah, suasana menjelang wukuf mula berubah perlahan-lahan.
Jika sebelum ini ramai jemaah mengambil peluang membeli cenderamata atau berjalan di sekitar kota suci itu, kini kebanyakan mereka lebih banyak menghabiskan masa di bilik penginapan, menyusun keperluan untuk dibawa ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Ada yang menulis nama pada ubat masing-masing supaya tidak tertukar ketika berada di dalam khemah nanti. Ada juga yang berkali-kali memeriksa dokumen perjalanan dan gelang pengenalan diri kerana bimbang tercicir di tengah jutaan manusia.
Penulis menyaksikan sendiri bagaimana sebahagian jemaah menyusun barang dengan penuh teliti walaupun beg yang dibawa hanya bersaiz kecil.
Seorang jemaah dari Kuala Selangor, Abdul Manaf Sulong, 62, membuka satu persatu barang di dalam beg sandangnya sambil tersenyum kecil.
“Tak banyak pun boleh bawa tapi bila fikir kita akan berada di luar beberapa hari, semua benda ini rasa penting,” katanya.
GAMBAR ANAK CUCU DI CELAH AL-QURAN
Di dalam begnya hanya ada beberapa helai pakaian, ubat, buku doa kecil dan sekeping gambar keluarga yang disimpan di celah helaian al-Quran.
“Saya bawa gambar anak-anak dan cucu sebab bila di Arafah nanti, saya nak doa satu-satu untuk mereka,” katanya perlahan sambil menunjukkan gambar yang sudah sedikit berkedut pada bahagian tepi.
Bagi kebanyakan jemaah, persiapan ke Arafah bukan sekadar tentang kelengkapan fizikal.
Apa yang dibawa bersama sebenarnya adalah himpunan harapan, doa dan perjalanan hidup yang dikumpul bertahun-tahun sebelum akhirnya menjejakkan kaki di Tanah Suci.
Seorang jemaah wanita dari Kuantan, Pahang, Salmiah Sulong berkata beliau sudah mula menyusun barang sejak seminggu lepas kerana terlalu bimbang tertinggal sesuatu.
Namun, di sebalik ubat dan pakaian, beliau mengakui perkara paling penting yang dibawa ialah doa-doa yang sudah lama disimpan di dalam hati.
MENCARI JIWA YANG TENANG
“Kami datang sini bukan fikir diri sendiri sahaja. Dalam doa nanti ada anak, suami, adik-beradik, malah kawan-kawan di Malaysia pun kami ingat,” katanya, sambil menunjukkan buku kecil berisi catatan nama individu yang mahu didoakannya di Arafah.
Menjelang malam, suasana di bilik-bilik hotel juga menjadi semakin hening dan tenang.
Ada jemaah yang duduk membaca al-Quran di atas katil, ada yang menghubungi keluarga di Malaysia dan ada juga yang duduk merenung memandang beg yang sudah siap dikemas di tepi pintu. Barangkali persiapan mental terakhir sebelum bertolak ke Arafah.
Di lobi hotel, suara talbiah mula kedengaran lebih kerap dan meruntun hati berbanding hari-hari biasa.
“Labbaikallahumma Labbaik…”
Ada yang melafazkannya perlahan sambil berjalan menuju lif, ada yang menyebutnya berulang kali selepas selesai solat berjemaah.
DOA, TANGISAN DAN SEBUAH PERJALANAN JIWA
Bagi penulis, suasana itu memberi gambaran bahawa perjalanan ke Arafah sebenarnya sudah bermula jauh lebih awal, bukan ketika bas bergerak meninggalkan Makkah tetapi sejak hati para jemaah mula bersedia meninggalkan urusan dunia untuk memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah.
Dalam beberapa hari lagi, jutaan manusia akan bergerak serentak menuju Padang Arafah untuk menyempurnakan wukuf, kemuncak ibadah haji yang dianggap penentu kepada kesempurnaan haji seseorang Muslim.
Di situlah mereka akan memanjatkan doa, menangis dan bermunajat dalam keadaan serba sederhana di tengah terik mentari padang pasir bersama jutaan manusia lain yang datang membawa kisah hidup masing-masing menyempurnakan rukun Islam kelima.
Ketika beg-beg kecil itu akhirnya diangkat masuk ke dalam bas menuju Arafah nanti, yang dibawa para jemaah bukan sekadar pakaian, ubat atau keperluan harian.
Mereka sebenarnya sedang membawa seluruh harapan, penyesalan, doa dan impian hidup untuk dipersembahkan kepada Allah SWT di bumi paling suci umat Islam.
-- BERNAMA
