Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman
KUDAT, 23 Mei (Bernama) -- Penduduk Pulau Banggi kini menarik nafas lega apabila tidak lagi perlu menyeberangi laut ke tanah besar Kudat bagi menebus Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua sebanyak RM100 susulan penyediaan kemudahan itu di pulau berkenaan sejak September tahun lepas.
Kini, bantuan berkenaan boleh ditebus di lima kedai terpilih di pulau itu, sekali gus menjimatkan masa dan kos perjalanan yang sebelum ini terpaksa ditanggung penduduk semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan asas.
Bagi Idris Hassan, 61, kemudahan itu bukan sahaja menjimatkan masa, malah mengurangkan beban kos perjalanan yang sebelum ini perlu ditanggung penduduk semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan asas.
Penduduk Kampung Karakit itu berkata sebelum ini penerima SARA di Pulau Banggi perlu menaiki feri ke Kudat bagi menebus bantuan berkenaan, sekali gus menyebabkan sebahagian nilai bantuan digunakan untuk tambang perjalanan pergi dan balik.
“Dulu kami terpaksa ke Kudat, tetapi sekarang tidak lagi kerana SARA sudah ada di Pulau Banggi. Ini memang memudahkan kami,” katanya ketika ditemui Bernama.
Terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari tanah besar Kudat, Pulau Banggi yang berkeluasan 621 kilometer persegi hanya boleh diakses menggunakan feri atau bot laju.
Idris berkata tambang feri dari Pulau Banggi ke Kudat ketika ini mencecah RM26 sehala, menjadikan kos keseluruhan perjalanan pergi dan balik sebanyak RM52, satu jumlah yang besar bagi golongan berpendapatan rendah di kawasan pulau.
Turut berkongsi kelegaan ialah Sunny Daniel, 52, yang menyifatkan kewujudan pusat penebusan SARA di pulau itu sebagai langkah tepat bagi mengelakkan bantuan kerajaan itu habis digunakan untuk kos logistik.
Beliau berkata sebelum ini perjalanan ke Kudat untuk menebus SARA memerlukan penduduk menaiki kapal atau feri, sekali gus menyebabkan sebahagian bantuan digunakan untuk tambang perjalanan.
“Kalau terpaksa ke Kudat, rugi juga rasanya. Bantuan SARA itu untuk beli barang keperluan, tetapi hampir separuh habis untuk tambang pergi dan balik,” katanya.
Sunny yang bekerja sebagai pemandu kereta sewa berkata bantuan SARA amat bermakna terutama ketika pendapatan tidak menentu akibat masalah kenderaan yang menjejaskan sumber rezekinya.
Sementara itu, Nurhayati Abdul Rahman, 34, berkata kemudahan berkenaan memberi impak besar kepada keluarga muda kerana barangan keperluan dapur dan bayi kini boleh diperoleh dengan lebih mudah di pulau sendiri.
Ibu kepada tiga anak itu berkata kewujudan lima kedai berkenaan memberi pilihan kepada penduduk untuk mendapatkan barangan asas tanpa perlu lagi merancang perjalanan merentas laut ke tanah besar.
Beliau berkata walaupun nilai bantuan itu mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, ia amat bermakna kepada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah di kawasan pulau, terutama dalam mengurus perbelanjaan harian.
Dalam pada itu, Nurhayati berkata perubahan yang berlaku turut mencerminkan pembangunan yang semakin dirasai penduduk Pulau Banggi, termasuk dari segi jalan raya, bekalan air dan elektrik yang kini lebih baik berbanding dahulu.
SARA Untuk Semua ialah bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM100 yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos tahun lepas tanpa perlu membuat permohonan dan boleh digunakan di lebih 13,000 premis perniagaan berdaftar di seluruh negara sehingga 31 Disember ini.
-- BERNAMA
