AM

SELANGOR PERUNTUK RM20 JUTA, TANGGUNG SEPARUH KOS PENGAJIAN ANAK NEGERI

22/05/2026 03:40 PM

SHAH ALAM, 22 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi menanggung separuh kos pengajian 4,000 anak jati negeri itu yang melanjutkan pelajaran di tiga institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata tiga institusi itu ialah Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Selangor (UNISEL) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

“Setakat ini hanya dua negeri mempunyai kemampuan seperti ini, iaitu Sarawak yang menanggung penuh (kos pengajian) manakala Selangor menanggung separuh. Kita satu-satunya negeri di Semenanjung yang mampu melaksanakan perkara ini dengan kos hampir RM20 juta,” katanya.

Amirudin berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini hari ini.

Walaupun kos untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran tinggi pada masa kini besar, beliau berkata kerajaan negeri melihatnya sebagai pelaburan masa depan untuk melahirkan generasi muda yang seimbang dari aspek fizikal, mental serta kerohanian.

Beliau berkata jika format itu berjaya, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk menaja penuh penuntut yang memenuhi syarat yang diterima melanjutkan pengajian di institusi berkenaan. 

“Jika berjaya, kita bersedia untuk melaksanakan pendidikan percuma kepada mereka yang memenuhi syarat. Kita mahu membuktikan pendidikan percuma bukan satu impian yang mustahil,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata PTRS tahun ini memperlihatkan lonjakan penambahbaikan dengan sasaran keseluruhan sebanyak 180,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri, berbanding fasa permulaannya pada 2009.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 160,000 ialah pelajar tingkatan empat dan lima yang diberikan akses tuisyen percuma serta kemudahan makanan.

“Baki 20,000 lagi melibatkan program intervensi baharu iaitu PDK yang memfokuskan murid tahun satu dalam kelas pemulihan bagi memperkukuh kemahiran asas membaca, menulis serta mengira (3M).

“Kelainan tahun ini bukan sahaja menyentuh aspek akademik, tetapi kita turut menyusun program pengurusan emosi dan jiwa untuk membina motivasi, harga diri tinggi dan minda positif memandangkan sebahagian besar mereka datang daripada kelompok keluarga yang agak tertekan,” katanya.

Dari segi kualiti modul, Amirudin berkata semakan berkala sentiasa dibuat oleh pasukan petugas khas yang dianggotai bekas pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan panel guru pakar bagi memastikan kandungannya setanding dengan pasaran tuisyen komersial luar.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan