Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Jumaat, disokong oleh ketegangan geopolitik yang semakin reda di Asia Barat serta prospek makroekonomi Malaysia yang bertambah baik.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu meningkat kepada 3.9550/9645 berbanding dolar AS 3.9595/9630 ketika ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata optimisme bahawa AS dan Iran bakal mencapai penyelesaian secara baik terus meningkat.
Beliau berkata harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent masing-masing susut 1.49 peratus dan 2.32 peratus kepada US$97.79 setong dan US$102.58 setong.
“Menurut agensi berita Iran, Tehran sedang meneliti cadangan daripada AS yang dilihat akan merapatkan sebahagian perbezaan antara kedua-dua pihak,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut berkata ringgit dijangka terus berada dalam kedudukan lebih baik susulan latar belakang makroekonomi Malaysia yang positif, khususnya apabila lebihan akaun semasa meningkat kepada 3.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku pertama 2026 berbanding 0.5 peratus pada suku sebelumnya.
“Selain itu, kedudukan fiskal kerajaan terus bertambah baik dengan defisit fiskal mengecil kepada RM17.1 bilion atau 3.3 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2026 berbanding RM21.9 bilion atau 4.5 peratus daripada KDNK dalam tempoh sama 2025.
“Justeru, ringgit dijangka kekal disokong kukuh sekitar RM3.95 hingga RM3.96 berbanding dolar AS hari ini,” katanya.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3120/3247 daripada 5.3220/3267 ketika ditutup pada Khamis, mengukuh berbanding euro kepada 4.5945/6056 daripada 4.6037/6078 sebelum ini serta naik berbanding yen Jepun kepada 2.4866/4928 daripada 2.4906/4929.
Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang serantau.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0949/1026 daripada 3.0967/0997 sebelum ini dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1286/1648 daripada 12.1304/1468.
Mata wang tempatan itu juga menambah nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 223.8/224.5 daripada 224.1/224.4 sebelum ini serta meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.42/6.44 daripada 6.43/6.44 sebelum ini.
-- BERNAMA
