EKONOMI

PROGRAM LATIHAN KEMAHIRAN ECRL DI CHINA LAHIR 66 PROFESIONAL SISTEM REL

20/05/2026 11:15 PM

Daripada Norsyafawati Ab Wahab

LIUZHOU (China), 20 Mei (Bernama) -- Sebanyak 66 pelatih Malaysia berjaya menamatkan program di Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC) pada Selasa dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Kohort Pertama Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (PLKI–ECRL) bagi Latihan Operasi dan Penyelenggaraan (O&M).

Program PLKI-ECRL itu dimiliki oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction ECRL Sdn Bhd (CCCECRL).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kumpulan lepasan berkenaan akan diserap sebagai tenaga kerja ECRL dan menjadi peralihan penting untuk pelatih kepada profesional dalam industri rel Malaysia.

Beliau berkata program itu menjadi sebahagian daripada usaha nasional yang lebih besar dengan 259 penuntut Malaysia sedang mengikuti latihan di Liuzhou yang kesemuanya sebagai persiapan bagi fasa O&M projek ECRL.

“Ini memaparkan komitmen kukuh kerajaan bagi membangunkan kepakaran tempatan selain memastikan rakyat Malaysia bukan sekadar menjadi peserta tetapi juga pemimpin dalam mengurus dan pengoperasian infrastruktur rel nasional kita,” katanya pada majlis graduasi Kohort Pertama O&M PLKI-ECRL.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata kumpulan berkenaan akan menggalas tanggungjawab mengendalikan operasi ECRL secara selamat, cekap, boleh diharap dan mapan demi manfaat rakyat serta generasi akan datang.

“Anda (lepasan) adalah perintis tenaga kerja operasi ECRL. Anda layak untuk berasa bangga dengan peranan dalam membentuk masa depan industri rel Malaysia.

“Ilmu pengetahuan, kemahiran teknikal dan pengalaman berharga yang anda peroleh di China perlu dibawa bersama kembali ke Malaysia serta diterjemahkan dalam kecemerlangan kerja harian anda,” katanya.

Mengulas ECRL, Darwis berkata projek itu berjalan lancar dengan banyak pencapaian penting merentasi kejuruteraan, pembinaan dan pembangunan sistem manakala kemajuan projek itu mencecah 93.66 peratus setakat ini.

“Projek itu disasarkan untuk memulakan aspek pengujian dan aktiviti pentauliahan pada Julai 2026, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting ke arah kesediaan operasi,” katanya.

Projek ECRL itu dijadual memulakan operasi komersial pada Januari 2027.

Program O&M PLKI-ECRL itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan dan latihan Malaysia untuk mendapatkan pelatih bersesuaian, terutama penuntut tahun akhir dan siswazah.

Latihan itu dilaksanakan menerusi gabungan pembelajaran teori dan teknikal dalam kelas, sesi praktikal secara langsung, pendedahan bengkel dan latihan operasi kereta api.

LRVTC merupakan institusi vokasional khusus di Liuzhou, Guangxi, yang memberi tumpuan utama terhadap pendidikan berkaitan kereta api dan pengangkutan.

Liuzhou terletak kira-kira 255 kilometer dari Nanning yang merupakan ibu kota wilayah Guangxi.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan