EKONOMI

SARAWAK UNJUR KUTIPAN HASIL CAPAI RM13 BILION PADA 2026 - TIMBALAN PREMIER

20/05/2026 05:45 PM

KUCHING, 20 Mei (Bernama) -- Sarawak mengunjurkan kutipan hasil sebanyak RM13.04 bilion pada tahun ini, kata Timbalan Premier merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah berkata setakat April, sebanyak RM3.86 bilion atau 29.6 peratus daripada jumlah diunjurkan telah berjaya dikutip.

“Kutipan sebanyak RM3.86 bilion itu diperoleh daripada beberapa sumber utama, antaranya merangkumi RM1.58 bilion daripada cukai jualan negeri, pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas (RM1.10 bilion) serta dividen sebanyak RM545 million,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak ketika membahaskan usul terima kasih atas titah Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Uggah berkata memandangkan cabaran ekonomi semasa dan ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan pasaran minyak dan gas global, kerajaan negeri menjangkakan akan ada impak terhadap unjuran kutipan hasil tahun ini.

“Meskipun begitu, kerajaan kekal komited untuk memperkukuh daya tahan melalui pengurusan fiskal yang berhemat serta inisiatif bersasar bagi menyokong rakyat dan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata setakat April tahun ini, sebanyak RM3.72 bilion atau 29 peratus daripada perbelanjaan biasa yang diluluskan telah dibelanjakan, manakala RM2.16 bilion atau 23 peratus telah dibelanjakan untuk perbelanjaan pembangunan.

“Memandangkan pelaksanaan program dan projek sedang berjalan, perbelanjaan dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini.

“Sehubungan itu, pegawai pengawal dan ketua-ketua jabatan mestilah terus menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap penyampaian perkhidmatan, menangani sebarang isu pelaksanaan secara proaktif, dan mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemat agar semua inisiatif dapat direalisasikan dalam lingkungan sumber sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan