KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Jasa, pengorbanan serta komitmen warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah meletakkan agensi itu sebagai antara tonggak penting negara dalam menyampaikan berita yang sahih dan berintegriti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata peranan itu sekali gus memperkukuh kefahaman rakyat, memelihara perpaduan nasional serta mengangkat citra Malaysia di persada antarabangsa, terutama dalam mendepani era ledakan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan lambakan maklumat tanpa sempadan serta cabaran dunia media yang menjadi semakin kompleks.
“Selamat ulang tahun ke-59 kepada BERNAMA, moga terus mendukung fakta, etika kewartawanan dan kepercayaan awam, demi memastikan rakyat terus memperoleh maklumat yang benar dan bertanggungjawab,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Bernama ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan perkhidmatan teks berita sebelum berkembang kepada perkhidmatan foto, radio, televisyen dan media digital.
Agensi berita itu kini mempunyai 967 petugas terdiri daripada warga kerja tetap, kontrak dan sambilan.
-- BERNAMA
