KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 2.2 juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh rayanya setiap hari, bersempena dengan musim cuti berganda yang bermula Jumaat ini.
Bagi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), aliran trafik pula dijangka merekodkan peningkatan sehingga 50,000 kenderaan sehari pada hari puncak.
PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan peningkatan ketara aliran trafik tersebut susulan pertembungan cuti pertengahan tahun persekolahan, dengan tiga sambutan utama iaitu Hari Raya Aidiladha, Hari Wesak dan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Hari-hari puncak dijangka pada 22, 23, 26, 28, 29, 30 dan 31 Mei 2026 bagi kenderaan yang keluar dari Lembah Klang, manakala bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang ialah pada 4, 5, 6 dan 7 Jun 2026.
“Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan balik ke kampung atau bercuti dengan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan. Orang ramai juga digalakkan merujuk dan mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di aplikasi PLUS,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna berada pada tahap terbaik, PLUS akan mengaktifkan Smart Lane di 33 lokasi tumpuan trafik bagi menambah kapasiti lorong, selain menugaskan lebih 500 anggota PLUSRonda dan LPT2Ronda untuk rondaan 24 jam.
PLUS turut mengoptimumkan operasi dan membuka semua lorong di plaza tol, serta memantau trafik masa nyata menerusi Pusat Pemantauan Trafik (TMC).
Selain itu, PLUS melalui kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta agensi berkaitan, komited membantu melancarkan aliran trafik dan memastikan tahap keselamatan pengguna sentiasa berada pada tahap optimum.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya - PUTRI, aplikasi X @plustrafik dan @lpt2trafik, paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta saluran stesen radio utama negara.
“PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya menggunakan aplikasi PLUS, Waze atau Google Maps, untuk merancang perjalanan serta mendapatkan status trafik semasa sepanjang musim perayaan kali ini,” menurut kenyataan itu.
Pengguna juga diingatkan supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-dompet (bagi pengguna RFID dan JustGO) sentiasa mencukupi, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, memandu secara berhemah, mendapatkan rehat secukupnya serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama.
Sekiranya memerlukan bantuan kecemasan, pengguna boleh menghubungi PLUSLine menerusi nombor 1800-88-0000 atau LPT2Line menerusi nombor 1800-88-0220.
-- BERNAMA
