JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN PERAK RAMPAS LEBIH 72,000 PEN PENANDA DISYAKI TIRUAN

20/05/2026 12:40 PM

IPOH, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 72,616 unit pen penanda pelbagai jenis dan warna disyaki tiruan dalam dua serbuan di bandar raya ini dan Kuala Kangsar, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata rampasan bernilai RM183,990 itu dilakukan hasil risikan dan aduan wakil pemilik cap dagang berhubung aktiviti penjualan dalam talian barangan berjenama terkenal yang dipercayai tiruan.

"Hasil pemeriksaan di premis terbabit mendapati semua pen penanda berkenaan disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan secara salah pada produk tersebut.

“Wakil pemilik cap dagang telah membuat pengesahan awal dan mendapati terdapat elemen pelanggaran di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua barangan itu dan dokumen berkaitan disita bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

Kamalludin berkata KPDN Perak akan terus memperkukuh pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras penjualan barangan tiruan demi melindungi pengguna serta hak pemilik cap dagang.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan