KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Hubungan strategik kesihatan antara Malaysia dan Singapura terus diperkukuh dalam usaha menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), menyelaras polisi pelabelan makanan (Nutri-Grade) dan potensi peluasan pelancongan perubatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu dilaksanakan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai semasa pertemuan bersama rakan sejawatnya Ong Ye Kung, yang mencerminkan kepercayaan dan komitmen tinggi kedua-dua pihak demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata antara agenda yang diperhalusi dalam pertemuan itu ialah penyelarasan polisi Nutri-Grade sebagai langkah proaktif dan bersepadu memerangi NCD di rantau ini.
“Kesepakatan ini mencerminkan tingkat kepercayaan serta komitmen tinggi demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dzulkefly berkata Malaysia turut menyambut baik pelaksanaan Program Persandaran Kawal Selia Peranti Perubatan yang dijangka mempercepat akses teknologi perubatan berkualiti tinggi serta inovatif ke dalam pasaran serantau.
Beliau berkata kedua-dua negara turut meneroka potensi memperluas pelancongan kesihatan merentas sempadan termasuk memudah cara rujukan pesakit dari Singapura ke fasiliti kesihatan swasta di Johor selain memperluas perlindungan insurans Medisave.
Langkah berkenaan, katanya bukan sahaja memperkukuh akses rawatan kesihatan, malah dijangka merangsang limpahan ekonomi serta memperluas kesalinghubungan kesihatan demi manfaat rakyat di wilayah selatan tanah air.
Dzulkefly berkata dalam mendepani cabaran kesihatan awam semakin kompleks, kerjasama Malaysia-Singapura menjadi wahana penting dalam membina sistem kesihatan serantau yang lebih mampan, berdaya tahan dan berteraskan kemanusiaan.
“Malaysia kekal komited mendukung diplomasi kesihatan dan kerjasama serantau yang berpaksi pada sikap saling hormat serta kemakmuran bersama,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Dzulkefly berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor kesihatan tidak boleh dilihat semata-mata sebagai lambang kecanggihan teknologi, sebaliknya mesti dibina berteraskan kepercayaan awam serta tadbir urus kerajaan yang kukuh.
Menurut Dzulkefly perkara itu dibangkitkan ketika beliau menyertai sesi perbincangan peringkat tinggi mengenai masa depan AI anjuran Kerajaan Portugal di Geneva.
Beliau berkata kepercayaan rakyat hanya dapat dipertahankan sekiranya penggunaan AI dilaksanakan secara selamat, beretika, adil dan berpusatkan rakyat.
“Ini bermakna pengurusan data yang selamat dan sistem kesihatan digital yang saling berhubung adalah amat kritikal, selain maklumat pesakit mesti dilindungi dan sistem tidak boleh lagi bergerak secara bersendirian,” katanya.
Dzulkefly berkata Malaysia kini mula membuktikan keberkesanan penggunaan AI dalam sektor kesihatan menerusi pelaksanaan saringan paru-paru berasaskan teknologi itu di klinik kesihatan awam dan program lapangan di seluruh negara.
Beliau berkata sebanyak 9,174 pesakit telah disaring setakat ini dengan kira-kira 26.9 peratus dikesan mempunyai X-ray dada tidak normal termasuk penemuan 724 nodul paru-paru, 73 kes berisiko tinggi kanser serta beberapa kes disyaki tuberkulosis (TB).
“Penemuan awal ini membolehkan rujukan pantas dan rawatan segera diberikan bagi menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan walau secanggih mana teknologi AI diperkenalkan, pengamal perubatan dan petugas kesihatan barisan hadapan tetap menjadi nadi utama dalam setiap keputusan klinikal dan rawatan.
“Kehadiran AI sesekali tidak akan menggantikan kepakaran serta sentuhan manusiawi seorang doktor atau jururawat, sebaliknya memperkasa dan melengkapi keupayaan mereka,” katanya.
Dzulkefly berkata Malaysia akan terus memastikan pembangunan teknologi kesihatan dipandu dengan penuh tanggungjawab demi membina sistem kesihatan yang lebih mampan, yang mengangkat nilai kemanusiaan.
-- BERNAMA
