AM

GSF2.0: 10 KAPAL MASIH MARA KE GAZA, EMPAT RAKYAT MALAYSIA TERUSKAN MISI

19/05/2026 05:19 PM

SEPANG, 19 Mei (Bernama) -- Sebanyak 10 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, termasuk yang membawa empat rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju Gaza, kata Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Beliau berkata SNCC mengesahkan kapal-kapal berkenaan kini berada di Zon Merah 2, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza dan dijangka tiba dalam tempoh sekitar sembilan jam sekiranya tidak berdepan sebarang gangguan.

“Berdasarkan anggaran dari lokasi semasa ke Gaza, dengan kelajuan sekitar 15 kilometer sejam, bersamaan kira-kira lapan knot, kami menjangkakan mereka akan tiba dalam masa sembilan jam lagi. Sembilan jam yang sangat mendebarkan.

“Sembilan jam ini sebenarnya adalah pecutan akhir bagi anak-anak muda Malaysia yang patut kita banggakan kerana mereka tidak berpatah hati, tidak lari dan terus mara ke hadapan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sani Araby berkata kapal-kapal yang masih berlayar menuju ke Gaza ialah Alcyone, Andros, Cabo Blanco, Don Juan, Elengi, Girolama, Kasr-i-Sadabad, Lina, Sirius dan Zefiro.

“SNCC turut mengesahkan empat rakyat Malaysia masih selamat dan berlayar ke Gaza, iaitu Hareez dan Chin menaiki kapal Alcyone, Syed Amirul (Don Juan) serta Noor Thanisah (Zefiro),” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan