EKONOMI

LEXIS PERHEBAT KEMPEN PERCUTIAN DI EMPAT DESTINASI

18/05/2026 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Lexis Hotels Group (Lexis) memperhebat usaha untuk menarik kedatangan pelancong domestik dan serantau melalui kempen “Tropical Escape: Your All-Season Private Pool Getaway” yang menawarkan penjimatan awal, faedah penginapan lanjutan dan pengalaman kolam renang peribadi di empat destinasi di Malaysia.

Menurut portalnya, kempen itu melibatkan Imperial Lexis Kuala Lumpur, Lexis Hibiscus Port Dickson, Grand Lexis Port Dickson dan Lexis Suites Penang, dengan setiap hartanah mengetengahkan penginapan yang dilengkapi dengan kolam renang peribadi yang disesuaikan untuk percutian di bandar, tepi laut dan percutian bersama-sama keluarga.

Promosi yang sah hingga 15 Dis 2026 itu menawarkan diskaun hingga 15 peratus bagi Best Available Rate untuk tempahan yang dibuat sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal, berserta sarapan harian untuk dua orang.

"Sama ada anda merancang percutian keluarga yang singkat di Port Dickson, meraikannya di tepi laut di Pulau Pinang atau percutian bandar yang menenangkan di Kuala Lumpur, kolam peribadi menanti anda. Pilihlah untuk menempah lebih awal dan berjimat, atau menginap lebih lama untuk nilai yang lebih tinggi," menurut portal itu.

Tawaran itu menjadikan "percutian kolam renang peribadi kegemaran" semua orang menjadi lebih mudah ditempah melalui gabungan insentif tempahan awal dan manfaat penginapan yang lebih lama.

Bagi tetamu yang memilih untuk menginap lebih lama, kumpulan hotel itu juga menawarkan diskaun hingga lima peratus bagi Best Available Rate berserta kemudahan pengangkutan lapangan terbang percuma untuk pakej terpilih.

Di bawah pakej “Stay More for Less”, tetamu yang menginap di Grand Lexis Port Dickson dan Lexis Suites Penang selama dua malam layak mendapat kemudahan pengangkutan lapangan terbang sehala percuma untuk dua orang, manakala penginapan bagi tiga malam atau lebih akan mendapat kemudahan itu untuk pergi dan balik.

Pada masa sama, tetamu yang menempah di Imperial Lexis Kuala Lumpur dan Lexis Hibiscus Port Dickson akan menerima perkhidmatan pengangkutan ke lapangan terbang sehala percuma bagi penginapan tiga malam dan kemudahan pengangkutan dua hala bagi mereka yang menginap selama empat malam atau lebih.

Bagi Imperial Lexis Kuala Lumpur, Lexis Hibiscus Port Dickson dan Grand Lexis Port Dickson, kemudahan pengangkutan disediakan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 atau Terminal 2, manakala bagi Lexis Suites Penang, perkhidmatan itu disediakan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari https://www.lexis.my/offers/stay/tropical-escape-your-all-season-private-pool-getaway.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan