AM

GESAAN AMK BERHUBUNG SIASATAN ALIRAN DANA ASING BUKAN ANCAMAN KEPADA DEMOKRASI

18/05/2026 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) --  Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan bahawa gesaan untuk menyiasat aliran dana asing kepada syarikat swasta yang didakwa disalahgunakan untuk propaganda politik dan kegiatan bertentangan undang-undang, bukanlah ancaman kepada sistem demokrasi atau prinsip kebebasan.

Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim berkata sebagai masyarakat sivil yang bertanggungjawab, gesaan itu amat wajar, daripada terus membiarkan tuduhan berkenaan menjalar tanpa sebarang siasatan mahupun tindakan.

Beliau berkata kenyataan empat bekas pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang menyamakan gesaan itu dengan rejim (pentadbiran) terdahulu amat meleset serta menyimpang daripada konteks asal, apatah lagi bertentangan dengan nilai yang diperjuangkan selama ini.

“Saya tidak pasti adakah mereka benar-benar meneliti secara waras dan adil keseluruhan kenyataan tersebut atau ada pihak tertentu yang mempengaruhi mereka dengan memutarbelitkan kenyataan tersebut dan berselindung di sebalik istilah 'pertubuhan masyarakat sivil' bagi mengalih perhatian terhadap dakwaan yang sedang berlegar ini?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Empat bekas pemimpin Bersih 2.0 hari ini menyelar gesaan AMK yang mahu pihak berkuasa menyiasat dakwaan penyaluran dana asing yang dikaitkan dengan cubaan mencatur naratif politik domestik, menyifatkannya sebagai melanggar asas penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai wadah politik untuk menegakkan keadilan.

Muhammad Kamil berkata gesaan beliau itu tidak pernah menyatakan bahawa agensi penguat kuasa boleh menggeledah mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima dana luar secara semberono.

"PKR bermula sebagai sebuah wadah politik yang didukung oleh gerakan massa dan pertubuhan masyarakat sivil yang kekal teguh dengan prinsip perjuangan reformasi.

"Kita tidak pernah menafikan sumbangan dan jasa pertubuhan masyarakat sivil dalam usaha mengangkat kesedaran dan menyubur kefahaman demokrasi dalam negara seterusnya mendukung agenda reformasi," katanya.

Beliau berkata isu dibangkitkan oleh AMK melibatkan dakwaan yang menyentuh soal kedaulatan dan keselamatan negara.

"Perlu diingatkan bahawa demokrasi dan kebebasan tidak bermaksud mana-mana pihak bebas untuk melangkaui garis-garis tertentu yang boleh menggugat keselamatan dan keamanan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan