GEORGE TOWN, 18 Mei (Bernama) -- Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan perubatan yang kompetitif disokong oleh peningkatan permintaan daripada pesakit asing yang mencari perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti pada harga berpatutan.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata hospital swasta di Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang terus menarik pesakit asing sekali gus mencerminkan kelebihan nilai kukuh yang dimiliki Malaysia dalam sektor penjagaan kesihatan.
“Pelancongan perubatan masih kukuh... jika anda datang ke Hospital Island di Pulau Pinang, ramai pesakit sebenarnya datang dari luar negara kerana Malaysia menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti pada harga yang berpatutan.
“Jika anda ke hospital di Johor dan Lembah Klang, anda juga akan menyaksikan peningkatan permintaan daripada pelancong asing yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan... ini adalah sektor yang sedang berkembang dan kita wajar terus memberikan sokongan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Intel di sini hari ini.
Beliau berkata keadaan itu kekal positif meskipun kerajaan mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus ke atas perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, sambil menegaskan bahawa pengecualian turut diberikan dalam keadaan tertentu bagi memastikan langkah percukaian tersebut tidak membebankan rakyat.
Amir Hamzah berkata SST diperkenal untuk memperkukuh sumber hasil kerajaan dan menambah baik ruang fiskal negara.
Mengenai kutipan SST daripada sektor penjagaan kesihatan, beliau berkata hasilnya disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan bagi menyokong keseluruhan perbelanjaan fiskal kerajaan.
“Kutipan yang diperoleh daripada SST akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan, dan ia digunakan bagi menyokong perbelanjaan fiskal kerajaan.
“Kami hanya memberikan beberapa pengecualian dalam bidang tertentu yang mempunyai tujuan khusus seperti cukai gula yang dinaikkan tahun lepas serta digunakan untuk campur tangan dalam kes penyakit berkaitan diabetes, buah pinggang dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA
