AM

PASANGAN WARTAWAN VETERAN PERNAH 'BERSAING' DI MEJA BERITA, RUMAH SENDIRI

18/05/2026 06:12 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

KEPALA BATAS, 18 Mei (Bernama) -- Dalam dunia kewartawanan, istilah ‘scoop’ atau berita eksklusif sering menjadi rebutan dalam kalangan media sehingga mewujudkan persaingan sengit, malah adakalanya menjejaskan hubungan profesional.

Namun, bagi pasangan wartawan veteran, Mohd Idros Mohd Ali dan Zuraida Abdul Rahman, persaingan itu tidak pernah menjejaskan keharmonian dalam rumah tangga mereka yang terbina sejak puluhan tahun.

Sebaliknya, pasangan yang pernah menerajui organisasi media berbeza di Pulau Pinang itu menganggap persaingan memburu ‘scoop’ sebagai warna-warni unik dalam kehidupan mereka sebagai suami isteri dan pengamal media.

Mengimbau kenangan ketika bertugas sebagai Ketua Biro Berita Harian di Pulau Pinang pada 1994, Mohd Idros, 65, berkata beliau dan isterinya yang ketika itu berkhidmat dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sentiasa bersaing secara profesional untuk mendahului media lain dengan laporan eksklusif.

“Saya bukan sahaja bersaing (scoop berita) secara profesional dengan media lain tetapi turut berhadapan dengan rakan sehidup semati dalam profesion yang sama. Jadi, bayangkan bagaimana. Memang kalau ada ‘scoop’ besar, sama ada dia atau saya, kami tidak akan bercerita di rumah.

“Scoop ini macam rahsialah sebab laporan ekskslusif. Hanya bila berita keluar di muka depan akhbar esok, barulah isteri tahu. Masa itu, ada juga dia bermasam muka... iyalah, scoop memang tak disukai dalam media. Tapi sekejap saja masam muka, tak lama,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediaman mereka di Bertam.

Mohd Idros berkata walaupun bersaing dalam dunia pekerjaan, mereka tetap meletakkan etika kewartawanan dan profesionalisme sebagai keutamaan.

“Walaupun suami isteri, ketika bekerja kami bertanggungjawab dengan etika dan peraturan organisasi media masing-masing. Tidak semua boleh diceritakan, tambah masing-masing adalah Ketua Biro yang menerajui negeri tersebut yang terikat dengan pelbagai perancangan dan amanah,” katanya.

Begitu juga dengan Zuraida, 63, persaingan kecil yang berlaku sepanjang kerjaya mereka tidak pernah menjejaskan keharmonian rumah tangga, malah menjadikan hubungan mereka lebih matang dan saling memahami tuntutan profesion masing-masing.

Ibu kepada Muhammad Furqan, 34, dan Nur Aina Faathirah, 26, itu berkata kehidupan sebagai pasangan wartawan banyak mengajar mereka mengenai toleransi, pengorbanan dan kesabaran.

“Bila kedua-dua bekerja dalam bidang sama, kami faham tekanan dan cabaran yang dihadapi pasangan. Jadi bila berlaku persaingan, kami tahu itu hanya ketika bertugas,” katanya.

Teruja berkongsi pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia media, pasangan itu mengakui tempoh sebagai Ketua Biro merupakan antara fasa paling mencabar dalam kerjaya kerana mereka bukan sahaja perlu memastikan laporan tepat dan pantas, malah bertanggungjawab mengurus keseluruhan operasi liputan negeri.

Berbeza dengan wartawan masa kini yang dibantu teknologi digital, Mohd Idros berkata era pemberitaan sekitar 1980-an dan 1990-an jauh lebih mencabar kerana semuanya dilakukan secara manual.

Beliau yang memulakan kerjaya di Bernama pada 1986 selepas menamatkan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM) menerusi tajaan biasiswa agensi berita itu berkata wartawan ketika itu perlu pantas berfikir dan bertindak walaupun tanpa kemudahan internet atau telefon pintar.

“Waktu itu kami guna word processor dengan skrin hijau sahaja, bukan komputer moden seperti sekarang. Berita pula dihantar melalui sistem khas Bernama.

“Habis sahaja tugasan, perkara pertama cari telefon awam. Wartawan memang kena kumpul duit syiling, bukan sahaja untuk hantar berita yang dibaca melalui telefon tetapi juga untuk hubungi meja penyunting,” katanya yang bertugas di Bernama selama lima tahun sebelum menyertai Harian Metro.

Pernah bekerja di akhbar kerajaan negeri Warisan Rakyat Pulau Pinang dari 1996 hingga 2008, beliau berkata pengalaman awal di Bernama banyak membentuk disiplin, ketahanan diri dan ketepatan kerja terutamanya ketika era sebelum kewujudan internet dan telefon pintar.

Isterinya pula, mula menceburi bidang pemberitaan selepas menamatkan pengajian di ITM pada 1988 dengan menyertai sebuah akhbar tabloid mingguan sebelum berkhidmat dengan Bernama, enam bulan kemudian.

Bersara awal pada 2010 ketika berusia 47 tahun kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarganya, Zuraida berkata kerja wartawan pada era itu bukan sahaja menuntut ketahanan fizikal bahkan mental terutama apabila perlu berdepan pelbagai cabaran termasuk menggunakan bas mini untuk ke lokasi liputan.

“Setiap berita kena semak banyak kali, begitu juga tanda baca. Kalau silap, memang kena tegur terus dan bos memang garang, tegas. Tetapi dari situ, kami banyak belajar ilmu menjadi wartawan,” katanya.

Bagi pasangan itu, pengalaman sepanjang bergelar wartawan merupakan perjalanan penuh kenangan dan cabaran yang mematangkan mereka selain menyifatkan Hari Wartawan Nasional 2026 (HAWANA 2026) sebagai platform menghargai pengorbanan media dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

Memasuki edisi keenam sejak diperkenalkan pada 2018, acara HAWANA 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth (PICCA) di sini pada 20 Jun yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan