EKONOMI

GX BANK, CGC DIGITAL TAWAR AKSES KREDIT SEHINGGA RM150,000 KEPADA PMKS

18/05/2026 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Bank digital GX Bank Bhd dan CGC Digital telah menjalinkan kerjasama strategik untuk menawarkan jaminan digital bagi akses kredit sehingga RM150,000 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

CGC Digital ialah cabang teknologi kewangan untuk Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd.

Kenyataan bersama dikeluarkan itu memaklumkan bahawa GX Bank juga akan menerima penyata bank peribadi untuk permohonan akaun perniagaan dan penilaian kredit, menerusi GX Business Banking Suite dipertingkat.

“Kemas kini itu akan membolehkan pemilik tunggal membina sejarah kredit perniagaan yang boleh disahkan di samping menangani jurang kredit PMKS bernilai RM90 bilion di Malaysia. Kerjasama dengan CGC Digital memperkenalkan jaminan utamakan digital yang berfungsi sebagai tulang belakang struktur bagi had kelulusan lebih tinggi.

“Dengan lebih separuh daripada pelanggan memilih untuk menyertainya secara organik, kadar penggunaan awal yang tinggi ini menekankan permintaan jelas bagi kredit boleh dilaraskan nilainya memandangkan PMKS kini melangkah melangkaui pembiayaan mikro ke arah pengembangan perniagaan,” menurut kenyatan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GX Bank, Kaushik Chowdhury berkata sejak pelancaran GX Business Banking, penajajaminan berasaskan data bank tersebut menghasilkan lebih 1,000 pengguna GX FlexiLoan dan 70 peratus kadar penggunaan pinjaman di seluruh portfolio perbankan perniagaannya.

“Dalam tempoh hanya 30 hari, perkongsian kami dengan CGC Digital telah menyaksikan kelulusan pinjaman melebihi RM3.3 million, merapatkan jurang sejarah kredit melalui data alternatif dan jaminan digital.

“Kami kini mempermudah lagi proses dengan menerima penyata bank peribadi sebagai pengesahan pendapatan untuk membantu lebih ramai usahawan berkembang”, katanya.

Pada masa sama, CEO CGC Digital, Yushida Husin berkata dengan menyepadukan sokongan jaminan dalam ekosistem perbankan digital, CGC Digital membolehkan institusi kewangan memenuhi keperluan segmen yang sebelum ini kurang mendapat perkhidmatan dan memberikan PMKS laluan lebih saksama untuk mengakses modal pertumbuhan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan