KUCHING, 18 Mei (Bernama) -- Sarawak mempergiat usaha mengeksport tenaga elektrik merentasi sempadan dalam usaha meletakkan Sarawak sebagai Battery of ASEAN, kata Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.
Beliau berkata pada masa ini, Sarawak mengeksport kira-kira 100 megawatt tenaga ke Kalimantan Barat, Indonesia sejak 2016 dan telah mula mengeksport bekalan elektrik berkapasiti 30 megawatt ke Sabah pada 13 Dis 2025.
“Sarawak juga menyasarkan mengeksport bekalan elektrik berkapasiti sekurang-kurangnya 30 megawatt ke Brunei yang kini dalam peringkat rundingan dan kajian kebolehlaksanaan,” katanya semasa menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Selain itu, Julaihi berkata Sarawak turut merancang mengeksport tenaga elektrik ke Singapura dengan kapasiti tidak melebihi 1,000 megawatt (1 gigawatt) yang telah mendapat kelulusan bersyarat daripada Energy Market Authority (EMA) Singapura pada 17 Okt 2025.
“Susulan kelulusan diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Malaysia pada Disember 2025 dan Maritime and Port Authority (MPA), Singapura pada Februari 2026, perbincangan komersial dan pembangunan teknikal telah dimulakan.
“Pada masa sama, eksport tenaga elektrik ke Semenanjung Malaysia dengan kapasiti tidak kurang daripada 1,000 megawatt (1 gigawatt) sedang dalam peringkat perbincangan awal,” katanya.
Sementara itu, Julaihi berkata ketika ini kapasiti penjanaan elektrik di Sarawak adalah sebanyak 5,928 megawatt manakala permintaan bekalan elektrik dijangka meningkat ke 4,800 megawatt.
Beliau berkata kapasiti penjanaan tersebut mencukupi untuk keperluan domestik termasuk bekalan elektrik ke luar bandar.
“Campuran kapasiti penjanaan elektrik terkini merangkumi pecahan yang terdiri daripada sumber tenaga boleh baharu iaitu sebanyak 60 peratus (3,558 megawatt) daripada sumber hidro dan 1 peratus (50 megawatt) solar.
“Selebihnya meliputi sumber tenaga bahan api iaitu 22.3 peratus (1,326 megawatt) daripada gas, 15 peratus (891 megawatt) arang batu dan 1.7 peratus (103 megawatt) diesel,” katanya.
-- BERNAMA
