KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Pemain beregu campuran utama negara Toh Ee Wei mencari inspirasi menjelang saingan Malaysia Masters 2026 menerusi pertemuan bersama jaguh muay thai negara Muhammad Johan Ghazali pada satu kejohanan sukan tempur di Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Ee Wei berkata peluang bertemu pemenang pingat emas kategori 57 kilogram (kg) Sukan SEA Thailand 2025 yang lebih dikenali sebagai Jojo itu dimanfaatkannya untuk bertukar pandangan, khususnya mengenai cara berdepan kritikan orang ramai apabila gagal mempamerkan prestasi terbaik.
“Saya sempat berbual dengan Jojo dan beliau sememangnya atlet luar biasa. Dia seorang pejuang dan saya berharap dapat menjadi pejuang di dalam gelanggang juga.
“Perjalanan kami seakan-akan sama. Ramai mengkritik dan marah kepada kami. Apa yang penting, kami kekal berdisiplin, menjalani latihan dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ujian gelanggang Malaysia Masters 2026 yang akan berlangsung mulai esok hingga 24 Mei ini di Unifi Arena di sini, hari ini.
Ee Wei dan Jojo turut memuat naik gambar pertemuan mereka menerusi laman Instagram masing-masing.
Sementara itu, pemain berusia 25 tahun itu berkata beliau bersama pasangannya Chen Tang Jie sudah bersedia menghadapi cabaran mana-mana pasangan pada kejohanan kali ini.
“Tidak kisah bertemu siapa, yang penting apabila masuk ke gelanggang kami akan beraksi habis-habisan,” katanya.
Juara dunia itu bersama Tang Jie yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan bakal membuka kempen menentang pasangan ranking ke-56 dunia dari Kanada, Jonathan Lai-Crystal Lai pada pusingan pertama.
Malaysia Masters 2026 menawarkan hadiah wang kemenangan keseluruhan berjumlah USD500,000 (RM1.98 juta).
-- BERNAMA
