EKONOMI

INSTITUSI TEMPATAN TERUSKAN PEMBELIAN BAGI MINGGU KELIMA BERTURUT-TURUT DI BURSA MALAYSIA

18/05/2026 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Institusi tempatan meneruskan pembelian bersih mereka di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut, dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM233.2 juta pada minggu lepas di tengah-tengah penjualan asing yang berterusan di seluruh pasaran ekuiti serantau.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), pelabur runcit turut kembali melakukan belian bersih selepas aliran keluar pada minggu sebelumnya, dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM92.4 juta sepanjang minggu yang berakhir 15 Mei.

Di Bursa Malaysia, institusi asing kembali melakukan jualan bersih selepas mencatatkan aliran masuk pada minggu sebelumnya, dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM325.5 juta ketika sentimen pelabur terkesan oleh tekanan inflasi yang berterusan, harga minyak yang tinggi dan ketidaktentuan geopolitik.

MBSB IB memaklumkan institusi asing mencatatkan aliran keluar bersih pada empat dari lima hari dagangan sepanjang minggu tersebut, dengan aliran keluar terbesar dicatatkan pada Jumaat (RM202.9 juta), diikuti oleh Selasa (RM64.9 juta), Khamis (RM60.3 juta) dan Rabu (RM19.4 juta).

Isnin merupakan satu-satunya hari pengecualian apabila mencatatkan aliran masuk bersih berjumlah RM22 juta.

“Di seluruh pasaran yang kami pantau, pelabur asing kembali melakukan jualan bersih selepas mencatatkan aliran masuk pada minggu sebelumnya, dengan jumlah aliran keluar bersih asing mencecah US$17.12 bilion,” tambah bank pelaburan itu dalam Laporan Mingguan Aliran Dana MBSB IB yang dikeluarkan hari ini.

Ia menyatakan Korea Selatan merekodkan aliran keluar asing terbesar sepanjang minggu tersebut, diikuti oleh Taiwan, India, Indonesia, Vietnam dan Malaysia, manakala Thailand dan Filipina merupakan satu-satunya pasaran yang mencatatkan aliran masuk bersih.

Sementara itu, MBSB IB memaklumkan sektor teknologi mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi di Bursa Malaysia sebanyak RM135.5 juta, diikuti oleh produk dan perkhidmatan industri (RM75.9 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM75.6 juta).

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan trend bercampur-campur merentasi pelbagai kelas pelabur, dengan pelabur runcit dan institusi asing masing-masing meningkat 14.2 peratus dan 3.4 peratus, manakala institusi tempatan mencatatkan penurunan 3.7 peratus,” jelas MBSB IB.

Menurut bank pelaburan itu, pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada suku pertama 2026, dengan mengekalkan pertumbuhan melebihi 5.0 peratus untuk suku ketiga berturut-turut, dipacu oleh perbelanjaan domestik, aktiviti perniagaan dan eksport yang mampan.

Pasaran buruh Malaysia juga kekal kukuh pada Mac 2026, dengan kadar pengangguran tidak berubah pada 2.9 peratus untuk bulan kelima berturut-turut, sekali gus kekal di bawah paras 3.0 peratus.

Bank itu menambah permintaan buruh terus mengukuh pada April 2026, dengan kekosongan jawatan meningkat sebanyak 15,000 kepada 122,000 daripada 107,000 pada Mac, dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan, khususnya perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan