DUNIA

RINGGIT DIBUKA TINGGI BERBANDING DOLAR AS DALAM SENTIMEN PASARAN BERHATI-HATI

18/05/2026 09:35 AM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin walaupun sentimen berhati-hati berterusan berikutan ketegangan geopolitik yang meningkat di Asia Barat.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9495/9605 berbanding dolar AS daripada 3.9515/9580 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan kebuntuan yang berpanjangan antara AS dan Iran terus mewujudkan kebimbangan mengenai konflik yang lebih meluas di rantau tersebut.

“Kebuntuan antara AS dan Iran dijangka berlarutan dan serangan baru-baru ini ke atas kemudahan nuklear Emiriah Arab Bersatu menunjukkan bahawa perang itu mungkin akan berpanjangan.

“Seterusnya, penutupan Selat Hormuz juga mungkin akan berlaku kerana kedua-dua negara akan menggunakan laluan laut tersebut sebagai kelebihan strategik masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.2572/2718 daripada 5.2749/2835 semasa ditutup pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.5873/6001 daripada 4.5948/6024 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4863/4934 daripada 2.4927/4968 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.0684/1083 daripada 12.0989/1247, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0824/0915 daripada 3.0871/0927 dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 224.4/225.1 daripada 224.5/225.0 sebelum ini.

Mata wang tempatan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.40/6.42 daripada 6.40/6.41 sebelum ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan