KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- ENERtec Asia 2026, pameran teknologi tenaga premium ASEAN menjalinkan kerjasama strategik dengan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) bagi mewujudkan platform bersepadu pelaksanaan peralihan tenaga yang menghubungkan dasar negara, strategi utiliti, inovasi teknologi, modal dan penggunaan di dunia sebenar.
Penganjur ENERtec Asia 2026, Informa Markets dengan Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia (TEEAM) selaku penganjur bersama dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara itu akan menampilkan lebih 1,000 pempamer serta lebih 40 persidangan dan seminar teknikal.
Menurut kenyataan itu, pameran berkenaan akan memberi tumpuan kepada pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), kecekapan tenaga industri, penyelesaian penyahkarbonan serta penggabungan tenaga dan kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, ETCon26 yang disokong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menganjurkan persidangan strategik bertemakan "Energy & AI: The Synergy for Energy Transition" yang berteraskan tiga tonggak, iaitu Tenaga untuk AI, AI untuk Tenaga dan Peralihan Tenaga untuk Rakyat.
“Secara keseluruhannya, perkongsian ini bertujuan menghubungkan perbincangan dasar dengan penyelesaian yang boleh dilaksanakan, menghubungkan keutamaan negara, perancangan dipacu utiliti, inovasi sektor swasta dan penglibatan pelabur bagi menyokong matlamat peralihan tenaga Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan kerjasama tersebut hadir ketika Malaysia memasuki fasa pelaksanaan penting di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, susulan pelaksanaan pelbagai inisiatif sejak 2023 termasuk BESS berskala utiliti, infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik di seluruh negara, pembangunan grid pintar, kesalinghubungan Grid Kuasa ASEAN serta pengembangan pesat pusat data berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Kerjasama ENERtec Asia-ETCon26 merupakan respons terhadap perubahan tersebut dengan menyediakan platform bersepadu tunggal yang mengubah impian sebuah dasar menjadi peluang pelaburan yang sedia dilaksanakan serta penyelesaian yang boleh digerakkan,” menurut kenyataan itu.
Acara yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu dijangka menghimpunkan lebih 12,000 pembuat dasar, syarikat utiliti, penyedia teknologi, pengguna tenaga industri, pelabur dan inovator dari lebih 60 negara.
Menurut penganjur, platform itu akan menyediakan rantaian bersepadu yang lancar daripada peraturan dan pelan hala tuju utiliti kepada pameran penyelesaian, pembiayaan serta pelaksanaan projek.
Dalam kenyataan sama, Pengurus Besar Negara Informa Markets Gerard Leeuwenburgh berkata ENERtec Asia 2026 mewakili titik perubahan penting bagi peralihan tenaga Asia Tenggara.
“Bersama TEEAM dan TNB, kami sedang mewujudkan satu ekosistem yang menterjemahkan inovasi kepada pelaksanaan – membolehkan pasaran beralih daripada aspirasi kepada tindakan bagi menyokong matlamat pelepasan sifar karbon ASEAN,” katanya.
Presiden TEEAM Albert Tan Tin Yau berkata platform itu akan berfungsi sebagai lanjutan strategik kepada mandat persatuan tersebut untuk memperkukuh ekosistem elektrik dan elektronik Malaysia.
Beliau berkata dengan menghimpunkan pihak berkepentingan merangkumi penjanaan tenaga, infrastruktur grid, sistem digital dan pengurusan tenaga, acara itu akan membantu membina perkongsian serta kecekapan teknikal yang penting bagi memastikan masa depan tenaga negara yang selamat, berdaya tahan dan mampan.
Kerjasama berkenaan juga akan menyediakan peserta akses kepada tokoh penting di peringkat global, pemadanan perniagaan berasaskan kecerdasan buatan (AI), teknologi generasi baharu serta penglibatan dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan pemimpin industri.
Penganjur memaklumkan kerjasama itu bertujuan mempercepat inovasi, perkongsian serta real-world energy deployment atau penggunaan tenaga dunia sebenar di seluruh Asia Tenggara.
ENERtec Asia 2026 dan ETCon26 dijangka berperanan sebagai platform yang menyatukan dasar, inovasi dan pengkomersialan bagi menyokong agenda peralihan tenaga Malaysia.
Untuk pendaftaran dan maklumat penuh acara, layari www.enertecasia.com dan www.the-etconference.com.
-- BERNAMA
