KUCHING, 12 Mei (Bernama) -- Sebanyak 4,694 pelajar daripada empat institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak ditawarkan pendidikan percuma menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) Sarawak setakat ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri Datuk Dr Annuar Rapaee berkata mengikut pecahan, i-CATS University College melibatkan 172 pelajar, Curtin University Malaysia (543 pelajar), Swinburne University of Technology Sarawak Campus (1,959 pelajar) dan Universiti Teknologi Sarawak (2,020 pelajar).
“Jumlah ini dijangka meningkat apabila pengambilan pelajar baharu pada Jun dan September ini. Kami menyasarkan sebanyak 10,000 pelajar di seluruh Sarawak akan menikmati FTES tahun ini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Safiee Ahmad (GPS-Daro) mengenai jumlah pelajar yang telah menerima manfaat daripada FTES Sarawak setakat ini.
Sementara itu, Dr Annuar berkata sebanyak 1,433 pelajar memilih untuk tidak menerima tawaran pendidikan percuma berkenaan.
“Kebanyakan mereka yang menolak melibatkan pelajar tahun akhir yang mempunyai kontrak atau perjanjian sedia ada dengan penaja biasiswa masing-masing.
“Mereka tidak dapat melanggar kontrak sedia ada. Sekiranya mereka tolak, ini akan membuka peluang kepada pelajar lain untuk menikmati FTES,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga yakin FTES dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang berdasarkan pendapatan negeri yang meningkat setiap tahun dan penubuhan Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak yang menjamin masa depan.
-- BERNAMA
