AM

MCDONALD'S MALAYSIA RAI ULANG TAHUN KE-10 INISIATIF HARI GURU, PENGHARGAAN KEPADA PENDIDIK

11/05/2026 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Inisiatif Hari Guru oleh McDonald’s Malaysia yang kini memasuki tahun ke-10 akan diteruskan dalam usaha syarikat itu menghargai warga pendidik atas jasa mereka membentuk generasi masa depan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei, syarikat tersebut akan menggerakkan lebih 300 restorannya di seluruh negara sepanjang bulan ini untuk berkerjasama dengan sekolah berhampiran dan meraikan para guru menerusi pelbagai aktiviti penghargaan berasaskan komuniti.

Kempen itu dijangka memberi manfaat kepada ratusan sekolah dan ribuan guru di seluruh negara, sekali gus memperkukuh peranan McDonald’s Malaysia sebagai rakan komuniti yang bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan, malah aktif menyokong komuniti setempat di kawasan operasinya.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata guru memainkan peranan penting dalam membentuk individu dan memperkukuh masyarakat, dengan impaknya melangkaui bilik darjah.

“Selama 10 tahun yang penuh bermakna ini, inisiatif Hari Guru telah berkembang menjadi usaha berskala nasional yang membolehkan kami mendekati sekolah secara langsung serta menyampaikan penghargaan kepada individu yang paling bermakna.

“Kami percaya adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan insan penting ini benar-benar dihargai dan diraikan,” katanya dalam kenyataan sama hari ini. 

Kempen berkenaan telah bermula awal bulan ini melibatkan aktiviti setempat di Pulau Pinang sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Inisiatif itu akan mencapai kemuncaknya menerusi sambutan utama di McDonald's Titiwangsa Drive-Thru yang melibatkan warga pendidik dari sekolah berhampiran sebagai penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen mereka.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif berkenaan, McDonald’s Malaysia juga akan menyalurkan sumbangan tunai bagi membantu kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan kemudahan bilik guru.

Sejak diperkenalkan pada 2017, inisiatif Hari Guru itu telah menjadi komponen penting dalam Program Komuniti @ McDonald’s yang melaksanakan lebih 10,000 aktiviti komuniti setiap tahun, termasuk usaha membantu keluarga yang memerlukan serta menghargai petugas barisan hadapan dan warga pendidik.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan