SHAH ALAM, 11 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor melaksanakan misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) terhadap seorang kru kapal MV Lucky Camelia yang cedera dipercayai ditikam rakan sekerja dalam satu insiden malam tadi.
Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot Penggalang 41 digerakkan ke lokasi, kira-kira empat batu nautika dari pantai Tanjung Rhu selepas Pusat Operasi APMM Selangor menerima permohonan bantuan pada 8.52 malam.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara dua kru masing-masing warga China yang mengakibatkan mangsa lelaki berusia 47 tahun ditikam di perut manakala seorang lagi kru lelaki berumur 36 tahun ditahan.
“Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa telah diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang manakala suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat selepas mereka tiba di jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah pada 1.15 pagi tadi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi APMM Selangor melalui talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999,” katanya.
-- BERNAMA
