AM

WAN HASHIM DILANTIK KSU BAHARU KPM, MULA TUGAS HARI INI

11/05/2026 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Datuk Wan Hashim Wan Rahim dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang baharu dan akan memulakan tugasnya hari ini.

KPM menerusi satu kenyataan mengucapkan tahniah atas pelantikan itu serta menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan Wan Hashim yang juga merupakan bekas timbalan ketua setiausaha (TKSU) bahagian perancangan dan pembangunan untuk menerajui kementerian ke arah kecemerlangan yang lebih mampan selaras dengan aspirasi pendidikan negara.

“KPM menyambut kehadiran Datuk Wan Hashim Wan Rahim yang memulakan tugas sebagai KSU KPM yang baharu pada hari ini.

“Pelantikan beliau dianggap sebagai kesinambungan penting kepada KPM memandangkan Datuk Wan Hashim bukanlah nama asing dalam dunia pendidikan negara,” menurut kenyataan itu.

Majlis simbolik ‘rakam masuk’ diadakan dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi kementerian, termasuk Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) Datuk Dr Mohd Azam Ahmad serta Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) KPM Datuk Indera Ikmalrudin Ishak.

KPM memaklumkan sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai TKSU bahagian Perancangan dan Pembangunan, Wan Hashim dikenali sebagai seorang pegawai tadbir yang komited serta mempunyai kepakaran mendalam dalam pengurusan projek dan dasar awam.

Beliau juga sentiasa menekankan kepentingan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan bagi memastikan setiap inisiatif kementerian memberi impak positif kepada guru, murid dan seluruh warga pendidik.

KPM berharap dengan pengalaman luas beliau dalam mengurus portfolio perancangan makro serta pembangunan infrastruktur sekolah itu akan dapat membantu memperkukuh pelaksanaan agenda reformasi pendidikan yang sedang giat dilaksanakan.

Selain Wan Hashim, KPM hari ini turut menerima Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian sebagai TKSU (Perancangan dan Pembangunan) yang baharu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan