EKONOMI

KWSP PERKENAL I-LEGASI, I-EMAS SERTA KALKULATOR MATLAMAT PERSARAAN

11/05/2026 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memperkenalkan i-Legasi dan Kalkulator Matlamat Persaraan yang menjadi sebahagian daripada usaha untuk memastikan kelangsungan pendapatan persaraan serta jaminan kewangan merentas generasi.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata perancangan persaraan harus melangkaui fasa pengumpulan simpanan dan memberi tumpuan kepada kecukupan dan kemampanan.

“Kami terus memperluas sokongan kepada ahli bukan sahaja untuk menyimpan, tetapi juga untuk membuat keputusan lebih baik bagi memastikan simpanan mereka berkekalan sepanjang hayat serta meninggalkan legasi buat insan tersayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kemudahan i-Legasi membolehkan ahli memindahkan sebahagian daripada simpanan KWSP kepada akaun KWSP ahli keluarga terdekat setelah mencapai umur pengeluaran penuh.

Selain itu, kemudahan kaedah bayaran bulanan melalui Pengeluaran Umur 55/60 Tahun sedia ada kini dijenamakan semula kepada i-Emas bagi menekankan kepentingan pengurusan simpanan persaraan sebagai sumber pendapatan yang mampan.

Berbanding pengeluaran simpanan secara penuh apabila mencapai usia 55/60 tahun, ahli boleh memilih kaedah bayaran bulanan secara automatik melalui i-Emas, sekali gus membolehkan baki simpanan mereka terus menerima dividen tahunan.

“Lebih 21,000 ahli telah memilih pengeluaran bulanan apabila mencapai usia 55/60 tahun, mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap keperluan pendapatan bulanan yang berstruktur selepas persaraan.

“(Kemudahan) i-Emas menyediakan fleksibiliti untuk mengurus keperluan harian di samping melindungi ahli daripada risiko kewangan seperti penipuan dan pengurangan simpanan secara mendadak, serta memastikan aliran pendapatan yang stabil sepanjang tempoh persaraan,” kata Ahmad Zulqarnain.

Selain itu, Kalkulator Matlamat Persaraan yang juga alat digital baharu dalam aplikasi KWSP i-Akaun, direka khusus untuk membantu ahli merancang persaraan secara lebih berkesan.

Kalkulator itu dapat membantu ahli menganggarkan keperluan simpanan masa hadapan berdasarkan jangkaan gaya hidup dan unjuran perbelanjaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan