AM

10,000 POLIS TRAFIK JALANI SARINGAN PARU-PARU MENERUSI PROGRAM LUNGSHIELD - DZULKEFLY

10/05/2026 04:50 PM

CYBERJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Sebanyak 10,000 anggota polis trafik akan menjalani saringan awal penyakit paru-paru menerusi Program LungShield, yang dikenal pasti sebagai antara kumpulan berisiko tinggi terhadap penyakit paru-paru berikutan pendedahan harian kepada faktor pekerjaan dan persekitaran.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata program hasil kerjasama antara IHH Healthcare, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu kemudiannya akan diperluas secara berperingkat ke jabatan lain dalam PDRM.

“Penyakit paru-paru masih merupakan antara punca utama morbiditi dan kematian di Malaysia. Ramai pesakit, khususnya pesakit kanser paru-paru didiagnosis pada peringkat lewat, iaitu apabila rawatan menjadi lebih sukar dan kadar kelangsungan hidup semakin rendah.

“Pada fasa awal, program ini akan dimulakan dengan saringan terhadap 10,000 anggota polis trafik yang merupakan antara kumpulan berisiko tinggi terhadap penyakit paru-paru disebabkan pendedahan pekerjaan dan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup National Tobacco Control Conference and Lung Health Summit 2026 di sini, hari ini.

Melalui Program LungShield, saringan X-ray dada dibantu teknologi kecerdasan buatan, laporan pakar radiologi, laluan diagnostik susulan dan mekanisme perlindungan kewangan akan membantu memperkukuh laluan penjagaan kanser paru-paru, khususnya bagi mereka yang mungkin menghadapi halangan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, dalam ucapannya Dzulkefly berkata usaha memerangi penggunaan tembakau, ketagihan nikotin dan penyakit berkaitan paru-paru tidak boleh dilakukan oleh KKM semata-mata.

Beliau berkata langkah itu memerlukan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk profesional penjagaan kesihatan yang memainkan peranan dalam menasihati, merawat dan memberikan sokongan kepada pesakit.

“Kita memerlukan pegawai penguat kuasa untuk menegakkan undang-undang, pendidik untuk membimbing anak-anak, ibu bapa untuk melindungi persekitaran rumah, serta pemimpin komuniti, media dan masyarakat untuk menyampaikan mesej pencegahan kepada setiap komuniti.

“Mereka yang merokok atau menghisap vape hari ini, jujur saya katakan, belum terlambat lagi untuk anda berhenti. Jangan tunggu sehingga pernafasan menjadi sukar. Jangan tunggu sehingga imbasan X-ray menunjukkan sesuatu yang membimbangkan. Jangan tunggu sehingga ahli keluarga anda merayu untuk anda berubah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan