POLITIK

UMNO TIADA BANTAHAN TERHADAP PENGGUBALAN AKTA PENDANAAN POLITIK - AZALINA

10/05/2026 01:08 PM

BANGI, 10 Mei (Bernama) -- UMNO tidak mempunyai bantahan terhadap cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pangerang berkata pandangan rasmi parti itu bagaimanapun belum dibawa secara formal kerana proses mendapatkan maklum balas cadangan penggubalan RUU itu daripada semua parti politik masih berjalan.

“Setakat ini tak ada pula bantahan daripada UMNO. Tapi kita tidak bawa dia secara rasmi sebab mereka akan buat rujukan kepada setiap parti secara formal mengenai pandangan masing-masing.

“Jadi tiada pandangan rasmi tetapi setakat ini saya tidak dengar UMNO memberikan bantahan kepada pendanaan politik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Dialog Awam Kerangka Akauntabiliti MADANI 2026 di sini hari ini.

Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata cadangan penggubalan RUU Akta Pendanaan Politik masih dalam proses kajian dan memerlukan persetujuan semua parti politik memandangkan mereka akan menjadi pengguna utama undang-undang berkenaan.

Beliau berkata kajian berkaitan pendanaan politik sentiasa dilakukan, namun masih terdapat beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara termasuk keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan serta entiti yang akan mengawal selia dana politik.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO turut dilaporkan menggesa penggubalan akta itu disegerakan bagi memastikan tiada lagi pihak yang akan teraniaya dan menjadi “kambing hitam” dalam isu pembiayaan politik serta derma politik.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan