KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri dan beberapa menteri Kabinet hari ini berkongsi penghargaan serta ucapan Hari Ibu menerusi media sosial masing-masing bagi mengenang jasa, pengorbanan dan kasih sayang insan bergelar ibu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook menyeru masyarakat untuk terus menghargai golongan ibu yang merupakan tunjang di sebalik kekuatan dan keteguhan sesebuah keluarga.
“Dalam diamnya ada doa yang tidak putus... dalam lelahnya ada kasih yang tidak pernah berkurang. Begitulah besarnya kasih seorang ibu.
“Bersempena Sambutan Hari Ibu 2026 hari ini, saya ingin merakamkan penghargaan setulusnya buat seluruh ibu di Malaysia. Anda semua adalah wanita luar biasa... wanita besi yang sentiasa kuat menghadapi segala cabaran demi anak-anak dan keluarga tercinta,” katanya.
Beliau berkata kasih seorang ibu menjadi sumber kekuatan dalam membina keluarga yang bahagia, melahirkan generasi yang berjaya dan membentuk masyarakat yang penuh nilai serta kasih sayang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para ibu yang disifatkan beliau sebagai wanita hebat, tiang keluarga, pendidik pertama anak-anak dan sumber kasih sayang yang tidak pernah padam.
Beliau berkata peranan ibu mengurus keluarga kini semakin mencabar terutama dalam keadaan ekonomi dan sosial yang terus berubah, selain mendidik anak-anak dalam era teknologi dan media sosial.
Dalam mendepani cabaran semasa, beliau berkata Kerajaan MADANI sedang memperkukuh pelbagai langkah bagi menjamin kestabilan bekalan serta mengurangkan beban yang ditanggung rakyat, khususnya golongan keluarga dan ibu-ibu yang menjadi pengurus utama dalam keluarga.
“Sesungguhnya, kekuatan sesebuah negara bermula daripada institusi keluarga yang kukuh, dan di tengah-tengah kekuatan itu berdirinya seorang ibu yang tabah, sabar dan penuh kasih sayang.
“Selamat menyambut Hari Ibu. Semoga segala pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan sentiasa diberkati, dihargai dan menjadi inspirasi kepada anak-anak dan generasi akan datang,” katanya menerusi hantaran di media sosial sama.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut mengucapkan Selamat Hari Ibu dan merakamkan penghargaan atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus.
“Semoga ibu sentiasa dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan kekuatan,” katanya.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyifatkan ibu sebagai insan teristimewa dan pahlawan kasih sayang yang mengharungi badai kehidupan dengan penuh keberanian serta kecekalan demi anak-anak dan keluarga.
“Cinta suci ibu tidak berganti. Pengorbanan dan jasanya tidak terbalas. Seteguh kasih ibu. Terima kasih buat semua wanita hebat bergelar ibu,” katanya dalam hantaran Facebook.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pengorbanan seorang ibu terserlah menerusi doa yang tidak pernah putus, kasih sayang yang tidak berbelah bahagi serta kesediaan mereka menjadi tempat bergantung dalam apa jua keadaan.
“Sempena Hari Ibu ini, marilah kita menghargai dan memuliakan insan yang telah banyak berkorban demi melihat anak-anaknya bahagia dan berjaya. Selagi masih ada kesempatan, peluklah ibu, hargailah ibu dan doakanlah ibu setiap hari,” katanya.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan turut mengucapkan selamat Hari Ibu buat semua insan bergelar ibu dan wanita-wanita hebat yang tidak pernah jemu memberi kasih sayang, kekuatan dan pengorbanan tanpa syarat.
“Semoga setiap pengorbanan kalian sentiasa dihargai dan dirahmati,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut merakamkan penghargaan khusus kepada para ibu yang bergelar petani, penternak, nelayan dan warga agromakanan negara.
“Seawal pagi mereka turun ke sawah, ke laut dan ke ladang demi mencari rezeki serta memastikan makanan sentiasa ada di atas meja rakyat Malaysia. Pengorbanan mereka cukup besar dan amat bermakna buat negara.
“Terima kasih kepada semua ibu yang tidak pernah jemu berkorban demi keluarga dan masyarakat. Jasa serta kasih ibu terlalu besar nilainya, tidak mampu dibalas dengan apa jua,” katanya.
Ucapan sama turut dizahirkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menyeru masyarakat supaya tidak melupakan peranan ibu di sebalik setiap pencapaian atau detik kecemerlangan masing-masing.
“Kepada yang telah kehilangan ibu, semoga mereka sentiasa damai di sana. Kepada yang masih mempunyai ibu, semoga terus berada dalam kasihnya,” katanya.
Hari Ibu disambut di seluruh dunia pada Ahad kedua bulan Mei setiap tahun, dan “Seteguh Kasih Ibu” dipilih sebagai tema Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 hari ini.
-- BERNAMA
