AM

BUNGA STOKIN JADI TERAPI BUAT WAN NORAINI

10/05/2026 01:18 PM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

TANAH MERAH, 10 Mei (Bernama) --  Bermula sekadar mengisi masa lapang bagi mengurangkan tekanan emosi selepas bergelar orang kurang upaya (OKU), seorang wanita kini menjadikan bunga stokin sebagai terapi diri serta sumber pendapatan dari rumah sejak enam tahun lalu.

Wan Noraini Wan Hassan, 54, atau lebih mesra disapa Kak Long berkata, minat terhadap seni kraf itu bermula selepas beliau disahkan lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat tumor tulang belakang yang dihidapinya sejak 2015 dan kini hanya bergantung kepada kerusi roda.

Beliau berkata perubahan mendadak daripada seorang yang aktif kepada OKU memberi kesan besar terhadap emosinya, sekali gus mendorongnya mencari aktiviti yang mampu menjadi terapi diri bagi mengelakkan tekanan dan kemurungan.

“Saya mula menghasilkan bunga stokin ini sekadar untuk mengisi masa lapang dan menenangkan fikiran selepas kehidupan berubah sekelip mata. Ia satu tamparan hebat buat saya, namun saya tidak mahu terus bersedih dan mengenang nasib diri.

“Tidak sangka daripada sekadar hobi dan terapi emosi, ia akhirnya menjadi sumber pendapatan yang membantu saya meneruskan kehidupan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, bunga stokin yang dihasilkannya bukan sahaja digunakan sebagai hiasan majlis perkahwinan dan pertunangan, malah turut dijadikan jambangan hadiah, hantaran serta dekorasi rumah kerana lebih tahan lama dan tidak mudah rosak.

Menurutnya proses menghasilkan bunga stokin memerlukan ketelitian tinggi apabila setiap kelopak dibentuk menggunakan dawai yang dipotong mengikut ukuran tertentu sebelum disalut dengan stokin dan dicantum satu persatu menjadi bunga.

“Dawai akan dibentuk menjadi lengkungan sebelum ditekap dengan stokin, kemudian digunting dan dicantum bersama aksesori seperti kudup bunga serta manik bagi menjadikannya lebih menarik dan kelihatan hidup.

“Kebiasaannya saya mengambil masa kira-kira lima minit untuk menyiapkan sekuntum bunga, manakala setangkai bunga yang lebih rumit bersama daun boleh mengambil masa sehingga dua jam,” katanya.

Wan Noraini berkata setiap jenis bunga mempunyai tahap kesukaran berbeza termasuk bunga raya, ros, kemboja dan peony yang memerlukan antara lima hingga 13 kelopak untuk disiapkan.

Beliau berkata penggunaan dua lapisan stokin mampu menjadikan bunga lebih menyerlah selain menghasilkan bentuk kelopak yang lebih kemas dan menyerupai bunga sebenar.

“Ada pelanggan memilih warna sendiri mengikut tema majlis, namun ada juga yang meminta cadangan daripada saya kerana kombinasi warna memainkan peranan penting untuk menghasilkan gubahan yang cantik dan eksklusif,” katanya.

Wan Noraini berkata beliau mampu menghasilkan sehingga 800 kuntum bunga stokin sebulan terutama ketika musim perkahwinan dengan tempahan diterima dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura.

Katanya bunga stokin yang dihasilkan dijual pada harga antara RM1.20 hingga RM12 bergantung kepada jenis bunga serta reka bentuk gubahan yang ditempah pelanggan.

Selain bunga stokin, beliau turut menghasilkan pelbagai produk kraf lain seperti crochet, beg tangan dan patung mengikut tempahan dengan harga antara RM100 hingga RM250 berdasarkan saiz serta rekaan.

“Keadaan diri yang banyak bergantung kepada kerusi roda menyebabkan saya tidak mampu bekerja terlalu lama dan hanya menghasilkan kraf sekitar lima hingga enam jam sehari.

“Namun, aktiviti kraf ini banyak membantu menenangkan emosi selain memberi peluang untuk saya terus berdikari dan menjana pendapatan sendiri walaupun berdepan masalah kesihatan,” katanya yang turut berkongsi hasil seninya menerusi akaun TikTok Noraini72.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan