AM

MANUSKRIP TOK KENALI BONGKAR WARISAN ISLAM NUSANTARA

10/05/2026 10:43 AM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

NARATHIWAT, 10 Mei (Bernama) -- Warisan Islam di Nusantara membuktikan sempadan geografi bukanlah penghalang kepada terjalinnya persaudaraan, perkongsian ilmu dan semangat wakaf yang utuh sejak ratusan tahun dahulu.

Semangat itu dapat disaksikan menerusi kewujudan Muzium Al-Quran Melayu Raya di sini, yang menyimpan pelbagai naskhah al-Quran purba hasil sumbangan dan wakaf ulama serta kerabat diraja dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Pegawai muzium Nik Ilham Nik Yusup berkata muzium itu menghimpunkan sebanyak 184 koleksi al-Quran dan manuskrip tulisan tangan berusia antara 100 hingga lebih 1,000 tahun.

Beliau berkata setiap koleksi yang dipamerkan turut mempunyai nombor pengenalan khas daripada Pustaka Suleymaniyah, Istanbul, Turki bagi memudahkan proses dokumentasi, pemuliharaan dan rujukan sejarah.

“Keistimewaan koleksi ini bukan sahaja pada usianya, malah sebahagian besar naskhah diperoleh melalui wakaf daripada waris ulama dan keturunan diraja, bukannya dibeli.

“Bagi pengunjung dari Malaysia, antara koleksi paling bernilai ialah naskhah kitab tulisan milik Tok Kenali yang dianggarkan berusia kira-kira 160 tahun serta al-Quran peribadi milik beliau," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nik Ilham berkata manuskrip berkenaan diperoleh daripada sebuah pondok di Kubang Kerian, Kelantan dan menjadi bukti kesungguhan ulama tempatan dalam memelihara serta menyebarkan ilmu al-Quran sejak dahulu lagi.

Selain itu, muzium berkenaan turut menempatkan karya tulisan tangan milik Syeikh Daud al-Fatani yang dianggarkan berusia lebih 200 tahun.

“Keunikan manuskrip itu terserlah menerusi penggunaan campuran emas pada tulisan tertentu manakala dakwat berwarna pula dihasilkan daripada ekstrak bunga-bungaan semula jadi,” katanya.

Selain khazanah dari Tanah Melayu, muzium itu turut menyimpan naskhah al-Quran tertua di Alam Melayu hasil tulisan Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang berusia sekitar 400 tahun, selain manuskrip berusia 800 tahun dari Andalusia, Sepanyol.

Beliau berkata terdapat juga koleksi unik yang dihasilkan menggunakan kulit kayu dan kulit binatang.

“Kewujudan koleksi berharga itu memperlihatkan usaha memartabatkan syiar Islam dan memelihara khazanah ilmu tidak pernah terikat dengan sempadan negara.

“Walaupun terletak di Selatan Thailand, muzium ini terus mengangkat roh dan warisan keilmuan Tanah Melayu dalam setiap ruang pamerannya,” katanya.

Nik Ilham berkata semangat wakaf yang dizahirkan oleh keturunan ulama dan raja-raja Melayu menjadikan muzium itu bukan sekadar pusat pemuliharaan manuskrip purba.

Beliau berkata muzium berkenaan turut menjadi simbol penyatuan warisan Islam Nusantara yang terus dihargai serta diwariskan kepada generasi akan datang.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan