SHAH ALAM, 9 Mei (Bernama) -- Tadika Holistik REAL Kids dan REAL Schools Kampus Shah Alam hari ini menganjurkan Program Bulan Bermain Layang-Layang Peringkat Sekolah 2026 bagi mendedahkan dan mengajak murid-murid mengamalkan gaya hidup sihat.
Ketua Jabatan Pemasaran REAL Kids Preschool Shaun Tan berkata program itu berjaya menghimpunkan kira-kira 150 peserta merangkumi murid prasekolah sehingga pelajar tahap satu dengan pengisian aktiviti seni serta fizikal.
“Penganjuran ini bertujuan membuka minda kanak-kanak untuk melihat aktiviti riadah di luar rumah sebagai alternatif yang lebih menyihatkan, sekali gus mengurangkan kebergantungan mengisi masa lapang dengan peranti elektronik.
“Melalui aktiviti melukis dan menerbangkan layang-layang, murid didedahkan dengan suasana yang menggalakkan interaksi sosial serta koordinasi motor yang sangat penting dalam fasa tumbesaran mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Bulan Bermain Layang-Layang Peringkat Sekolah 2026 di Galeri Shah Alam di sini hari ini.
Terdahulu, Shaun mengiringi Pengurus Strategik Korporat Tourism Selangor Halim Hamdan menyempurnakan acara perasmian dengan penampilan maskot rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026, sepasang Beruang Matahari, iaitu Wira dan Manja.
Menurut Shaun, inisiatif itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Tourism Selangor bagi memperkasa aktiviti berteraskan warisan budaya dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata para peserta memulakan acara dengan sesi mewarna layang-layang mengikut kreativiti sendiri sebelum beralih ke Laman Budaya bagi mempelajari teknik menerbangkan layang-layang menerusi bimbingan tenaga pengajar REAL Kids dan ibu bapa masing-masing.
“Pendekatan pendidikan awal kami sentiasa menitikberatkan pembangunan menyeluruh merangkumi aspek intelektual, emosi, sosial dan fizikal secara seimbang bagi memastikan kanak-kanak membesar dengan daya tahan tinggi.
“Sokongan padu daripada ibu bapa adalah kunci utama dalam membentuk generasi aktif yang tidak lagi terikat sepenuhnya kepada penggunaan peranti digital dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
Beliau berkata penganjuran itu turut dilihat sebagai manifestasi komitmen pihak sekolah dalam melahirkan modal insan cemerlang melalui modul pembelajaran holistik yang menggabungkan elemen kesenian dengan kecergasan badan.
Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada peserta yang menghasilkan hiasan layang-layang paling menarik selain penyerahan sijil kepada semua peserta.
-- BERNAMA
