AM

KERAJAAN IKHTIAR BEBERAPA LANGKAH BANTU OPERASI SYARIKAT MEDIA - FAHMI

09/05/2026 08:35 PM

MELAKA, 9 Mei (Bernama) -- Kerajaan sedang melaksanakan beberapa ikhtiar bagi membantu syarikat media untuk kekal beroperasi, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata antaranya kerjasama dengan pihak Google menerusi Projek Sigma untuk bereksperimen dengan cara penyampaian baharu bagi pembaca dan penonton generasi baharu.

“Ini merupakan satu realiti hari ini yang mungkin generasi baharu tidak lagi membaca surat khabar dan menonton televisyen pada waktu tertentu, tetapi maklumat sampai kepada mereka pada bila-bila masa dalam apa jua bentuk.

“Dan cabaran paling besar ialah monetisation (menjana wang) … jadi, saya percaya perkara ini antara yang akan kita bincangkan (bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional nanti),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini Ishak Mohamed Salleh, 65, yang berdepan dengan cabaran kesihatan, di kediamannya di Taman Bukit Cheng di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata kerajaan bukan sahaja mendengar idea daripada syarikat media, malah akan membantu proses peralihan itu bagi mengukuhkan lagi peranan wartawan sebagai penyampai maklumat.

“Kita nak kena cari model perniagaan yang mampu mendatangkan pulangan kepada syarikat-syarikat media bagi memastikan sektor pekerjaan ini terus terjamin,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan