BATU GAJAH, 9 Mei (Bernama) -- Tempoh perjanjian kerjasama antarabangsa selama 25 tahun melibatkan tiga gajah Malaysia, iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) antara Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dengan Tennoji Zoo Osaka (TZO), Jepun disifatkan sebagai munasabah.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata tempoh perjanjian itu ditetapkan selepas mengambil kira pelbagai pandangan serta keperluan program konservasi dan projek pembiakan jangka panjang.
"Tiga ekor gajah tersebut kekal sebagai hak milik Zoo Taiping, tetapi kelahiran generasi pertama anak-anak gajah memang sudah dimuktamadkan (dalam perjanjian). Anak pertama, ketiga dan kelima akan menjadi hak milik Tennoji Zoo, manakala anak kedua, keempat dan keenam ialah hak milik Zoo Taiping.
"Jadi, (perjanjian ini) merupakan sebahagian daripada kerjasama konservasi yang memerlukan tempoh yang bersesuaian," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Santai-Santai Open Day Ardea di projek perumahan Taman Tasik Ardea, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Koordinator Sekretariat Solidariti Bersama DAK Neow Choo Seong yang mendakwa tempoh memorandum persefahaman itu terlalu lama dan tidak munasabah, seolah-olah menjadi “hukuman penjara seumur hidup” kepada tiga ekor gajah itu, khususnya Kelat yang telah berusia 25 tahun.
Neow yang menghadiri Himpunan Solidariti Bersama DAK di hadapan ZTNS di Taiping, pagi tadi, turut menggesa kerajaan menubuhkan segera satu pasukan khas yang dianggotai pakar gajah, pakar haiwan dan pakar zoologi bebas bagi menilai aspek kesihatan fizikal serta mental ketiga-tiga gajah berkenaan.
Mengulas gesaan itu, Ng berkata kerajaan negeri tidak bercadang menubuhkan pasukan petugas bagi memantau keadaan semasa DAK yang kini ditempatkan di TZO.
Beliau berkata hal ini kerana Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah menempatkan mahut (penjaga gajah) bersama dengan ketiga-tiga gajah berkenaan bagi proses penyesuaian selain memantau keadaan haiwan itu di Jepun.
"Pada peringkat Perhilitan, memang ada mahut yang ikut bersama, jadi mereka sebagai wakil Malaysia untuk memantau keadaan dan membantu gajah menyesuaikan diri. Pihak Zoo Taiping juga menerima laporan secara berkala untuk memastikan ketiga-tiga gajah itu berada dalam keadaan baik.
"Setakat ini, kita rasa mekanisme berjalan dengan baik. Walaupun kerajaan negeri menerima banyak tekanan, kita tidak akan buat sebarang tindakan secara terburu-buru. Kita hendak memastikan semua (perjanjian kerjasama) ikut cara yang betul dan sesuai kerana kebajikan tiga gajah itu terus menjadi keutamaan," katanya.
-- BERNAMA
