AM

JAKOA RAI MEDIA, PEMPENGARUH DAN NGO ORANG ASLI PADA MAJIS RAMAH MESRA

09/05/2026 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menghimpunkan pengamal media, pempengaruh dan badan bukan kerajaan (NGO) Orang Asli dalam satu majlis ramah mesra di sini semalam bagi menghargai peranan mereka selain memperkukuh kerjasama strategik.

JAKOA dalam kenyataan hari ini memaklumkan, majlis julung kali itu turut menjadi platform memperkenalkan barisan pengurusan jabatan serta mengeratkan hubungan dengan tiga kumpulan utama berkenaan.

“Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Penghargaan Media kepada beberapa penerima, iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi kategori televisyen untuk slot Apa Khabar Malaysia; ASYIKfm, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi kategori radio dan Oh My Media untuk kategori portal.

“Turut menerima penghargaan ialah wartawan Media Prima Kelantan, Siti Nor Akmaliah Razak yang menerima Anugerah Penghargaan Wartawan Cakna,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKOA Muhammad Akmal Ila Ahmad dalam ucapannya menyeru semua pihak agar terus membantu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta JAKOA menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat.

Beliau berkata kerjasama erat antara media, pempengaruh dan NGO Orang Asli mampu memberikan impak besar dalam memperkasakan agenda pembangunan, serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli secara menyeluruh.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan