AM

HUJAN BERTERUSAN, LEBIH 10 RUMAH TERJEJAS AKIBAT BANJIR DI KAMPUNG LASAH

09/05/2026 11:10 AM

IPOH, 9 Mei (Bernama) -- Lebih daripada 10 rumah di Kampung Lasah, Sungai Siput terjejas selepas ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan selama empat jam yang melanda kampung itu, awal pagi tadi.  

Pusat Kawalan Operasi Unit (PKOU) Sungai Siput Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan kejadian banjir itu turut menyebabkan beberapa jalan di kawasan sekitar ditenggelami air membabitkan Kampung Chenein, Kampung Jong dan Kampung Bawong.  

"APM Sungai Siput menerima panggilan pada 1.24 pagi. Hujan berterusan selama empat jam dan setakat 6 pagi tadi hujan renyai.

"Kejadian itu menyebabkan paras air meningkat dan jalan dinaiki air. Anggota APM Unit Sungai Siput berada di lokasi untuk memantau keadaan dan setakat ini keadaan terkawal," menurut kenyataan itu, hari ini.

Setakat 9 pagi, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, namun terdapat mangsa berpindah sementara ke rumah jiran dan saudara-mara terdekat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata tiga mangsa termasuk seorang wanita warga emas dan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) diselamatkan selepas terperangkap di dalam rumah mereka.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan pada 4.13 pagi, dan kejadian dipercayai berpunca daripada limpahan air Sungai Pelus, yang menyebabkan paras air meningkat sehingga dianggarkan mencecah satu meter.

"Tiga mangsa, seorang wanita berusia 80 tahun, seorang wanita OKU berusia 55 tahun dan seorang lelaki lingkungan 40-an terperangkap di dalam rumah mereka.  

"Ketua operasi juga telah menasihati kesemua penduduk kampung yang lain supaya berpindah sekiranya terdapat perubahan paras air," katanya dalam kenyataan berasingan.

Sabarodzi berkata, ketiga-tiga mangsa kemudian dipindahkan sementara ke Dewan Orang Ramai Kampung Lasah dengan bantuan ahli jawatankuasa kampung berkenaan.

"Hasil pemantauan juga mendapati paras air mulai surut dan pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa," katanya sambil menambah operasi tamat pada 9.50 pagi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan