EKONOMI

PULAU PINANG KEKAL ENJIN EKONOMI NEGARA, CATAT PELABURAN RM63.96 BILION PADA 2025 - TYT

08/05/2026 02:05 PM

GEORGE TOWN, 8 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara enjin utama pertumbuhan ekonomi negara apabila berjaya mengekalkan momentum kukuh dalam sektor pelaburan, perdagangan dan ekonomi digital sepanjang tahun lepas.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib berkata pencapaian itu membuktikan negeri berkenaan bukan sahaja kekal sebagai nadi perindustrian negara, malah semakin menyerlah sebagai hab teknologi dan pelaburan berimpak tinggi di rantau ini.

Beliau berkata berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM63.96 bilion pada 2025, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur tempatan dan asing terhadap prospek ekonomi negeri itu.

“Sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama dengan nilai pelaburan sekitar RM22.38 bilion, dipacu industri Elektrikal dan Elektronik (E&E), manakala sektor perkhidmatan merekodkan kira-kira RM41.22 bilion dengan sumbangan besar daripada subsektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

“Daripada jumlah keseluruhan itu, pelaburan domestik dan pelaburan asing masing-masing mencatatkan sekitar RM38.85 bilion dan RM25.10 bilion, sekali gus menggambarkan keyakinan seimbang pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap potensi pertumbuhan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini hari ini.

Tun Ramli berkata prestasi perdagangan negeri turut mencatat perkembangan memberangsangkan apabila jumlah dagangan Pulau Pinang pada 2025 mencecah RM956.37 bilion, meningkat 17.9 peratus berbanding tahun sebelumnya berdasarkan laporan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Menurut beliau, daripada jumlah itu nilai eksport direkodkan sebanyak RM573.91 bilion manakala import berjumlah RM382.46 bilion, sekali gus mengekalkan Pulau Pinang sebagai antara penyumbang utama eksport negara dengan sumbangan sekitar 35.7 peratus kepada keseluruhan eksport Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata melalui pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Digital Pulau Pinang (DEMP) 2025-2030, menyasarkan sumbangan ekonomi digital sehingga 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri menjelang 2030.

Katanya, inisiatif itu berpotensi menarik pelaburan digital bernilai RM20 bilion selain mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Dalam kerangka pembangunan ekosistem digital itu, syarikat pemula di negeri ini terus menunjukkan perkembangan positif dengan pembiayaan berjumlah RM23 juta bagi tempoh 2023 hingga awal 2026.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 300 syarikat pemula telah berdaftar setakat 2025, bersamaan kira-kira 60 peratus daripada Visi Penang2030,” katanya.

Tun Ramli berkata pelbagai inisiatif pendigitalan negeri turut memberi impak positif kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), apabila lebih 3,300 PMKS menerima manfaat sepanjang 2025 menerusi usaha meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh daya saing serta memperluas penggunaan teknologi digital dalam perniagaan.

Selain itu, katanya usaha memperkasa inklusiviti digital terus dipergiat menerusi program DahDigital yang memberi manfaat kepada lebih 3,300 peserta melalui 140 kelas di seluruh negeri bagi meningkatkan literasi digital dan memperluas penyertaan dalam ekonomi digital.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan