EKONOMI

PERMINTAAN DOMESTIK PERKUKUH EKONOMI MALAYSIA DI TENGAH-TENGAH KONFLIK GLOBAL -- AHLI EKONOMI

06/05/2026 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Permintaan domestik kekal sebagai penampan utama bagi ekonomi Malaysia di tengah-tengah konflik yang berterusan di Asia Barat, kata Ketua Ahli Ekonomi Affin Kumpulan Affin Alan Tan. 

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pergantungan kepada daya tahan domestik sahaja mungkin tidak mencukupi untuk mengimbangi sepenuhnya eksport yang lemah jika keadaan global terus merosot. 

“Tetapi tidak syak lagi, permintaan domestik Malaysia kekal kukuh. Ini dibuktikan dalam pelancongan, perbelanjaan penggunaan swasta dan kita lihat dalam dorongan pelaburan, terutamanya dalam pembangunan pusat data di Johor,” katanya. 

Tan berkata demikian pada sesi perkongsian di Forum Kerjasama dan Kepimpinan ASEAN 2026 bertajuk ‘Daya Tahan Strategik : Menavigasi Krisis Ekonomi dan Tenaga Global serta Landskap Rantaian Bekalan’ yang dikendalikan oleh Pengerusi Penyelidikan dan Advokasi CARI ASEAN, Tan Sri Munir Majid.

Mengulas lanjut, dalam senario berpanjangan apabila konflik itu berlanjutan selama lebih enam bulan dan harga minyak mentah Brent kekal tinggi, Tan berkata pertimbangan fiskal boleh menjadi tumpuan utama, termasuk kemungkinan pelarasan terhadap dasar penetapan harga bahan api. 

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan, berpendapat kuasa global dilihat kurang terlibat secara langsung dengan ASEAN, menyumbang kepada integrasi ekonomi serantau yang lebih perlahan dan memerlukan negara anggota untuk mengatasi kejutan luar dengan lebih berhati-hati. 

Tambahnya, penggunaan sistem pengangkutan awam Malaysia, termasuk bas sebagai keperluan asas telah membantu mengurangkan sebahagian daripada kesan domestik, mencerminkan usaha kerajaan untuk menguruskan tekanan kos. 

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa pembuat dasar juga mesti mengambil kira landskap inflasi serantau yang lebih meluas dan cara untuk mengubah dinamik harga yang boleh mempengaruhi pertumbuhan perniagaan di seluruh Asia.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan